Isnin, 23 Mac 2015

TIP-TIP PENJIMATAN...SEKADAR PERKONGSIAN

Assalamualaikum w.b.t..

Pertamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat ALLAH s.w.t yang dengan keizinanNya masih lagi berpeluang hidup di atas muka bumiNya ini.

Mungkin pada saat ini, kita semua sibuk memikirkan tentang GST iaitu cukai barang dan perkhidmatan yang akan dilaksanakan pada 1 April nanti. Tambahan pula dengar berita banyak barang yang akan mengalami kenaikan harga...tentu pening hendak bajet kan. Apa lagi jika gaji bulanan pun orang kata cukup-cukup makan je...

Saya tak cerita pasal GST ni kerana ilmu kurang tentangnya. Apa yang nak saya kongsikan tentang langkah-langkah penjimatan yang kita boleh ambil sekadar perkongsian pengalaman sendiri terutama untuk bakal-bakal suami-isteri termasuk adikku juga...hihihi.

Apabila masalah ekonomi negara semakin gawat, ramailah yang berfikir bagaimana cara hendak mengatasinya. Adalah mula berfikir untuk tidak makan kat luar lagi atau, kurangkan membeli tudung(kaum hawalah ni...), tidak mahu membeli secara online malah ada yang tak nak lalu kat ATM. Macam-macam cara kita fikirkan. Mungkin ini juga merupakan langkah penjimatan...tapi sejauh mana ia berkesan.

Dahulu semasa mula-mula kerja(masa tu dah kahwin), akak masih ingat lagi bagaimana cik suami akak mengajar akak berjimat. mungkin kerana kami daripada keluarga yang susah, jadi kami agak berjimat-cermat  walaupun kami berdua bekerja.

#Tip 1 - Jangan Buat Pinjaman Kereta

Tentu semua pelik. Macam mana nak beli kereta kalau tak buat pinjaman kan? Namun inilah yang akak lakukan dahulu sebelum membeli kereta baru. Semasa mula-mula bekerja,  kami hanya menggunakan kereta "second hand" sahaja yang dibayar tunai. Pembaca nak tahu apa kereta pertama saya....Kereta Charade  yang hanya berharga RM5000 sahaja yang dibayar tunai hasil simpanan kami.

Lepas tu barulah beli kancil yang juga merupakan kereta "second hand". Juga kami bayar tunai. Apa yang saya kongsikan ini, mungkin ada yang tak boleh terima. Maklumlah dah bekerja tentu nak pakai kereta baru. Kereta lama...hmmm malulah. Tapi itulah hakikatnya, kami tidak ada hutang kereta sehinggalah gaji semakin naik lebih kurang lapan tahun bekerja, baru dapat merasa kereta baru. Itupun kami ambil pinjaman untuk lima tahun sahaja...walaupun banyak sedikit bayaran bulanan.

Saya pernah terbaca FB Saiful Nang yang juga mencadang idea ini...Jadi, tak perlulah kita nak bergaya. Kita belanja ikut kemampuan kita. Yang penting, janji sampai ke tempat tujuan dan bebas hutang...

#Tip 2 - Mulakan Menabung

Jika kedua-dua suami isteri bekerja, mulalah fikir duit kita berlebihan berbanding jika isteri tidak bekerja(kecuali gaji suami tinggi). Duit yang berlebihan itulah yang perlu disimpan. Jangan cukup bulan dapat gaji, habis bulan, habis gaji...

Walaupun hanya RM10 tetapi menabunglah. Yang terbaiknya simpanlah 10% daripada gaji kita. Itu yang saya lakukan. Saya buat potongan gaji untuk disimpan dalam Tabung Haji. Alhamdulillah daripada hasil tabungan itu, saya gunakan untuk membaiki rumah bonda, hantar ibu dan bapa menunaikan fardhu haji, mengerjakan umrah dan Alhamdulillah saya sendiri juga telah dapat melaksanakan ibadah Haji.

Simpanan secara potongan gaji ni adalah baik kerana kita tidak perlu lagi bersusah-payah ke bank setiap bulan untuk menabung.

Satu perkara lagi, tabungan tidak boleh sekali dengan akaun gaji, jawabnya duit memang akan cepat habis. Jadi, yang terbaik simpan di Tabung Haji.

Begitu juga dengan simpanan untuk anak-anak. Saya mula membuka akaun simpanan mereka di Tabung Haji setelah mereka lahir. Peringkat awal hanya RM10 je seorang. Apabila gaji bertambah, saya naikkan kepada RM50. Alhamdulillah, sampai sekarang apabila melihat akaun anak-anak, saya rasa gembira kerana sekurang-kurangnya wang simpanan ini dapat digunakan untuk mereka meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi. Taklah, orang kata kena bergolok bergadai...

#Tip 3 -  Membuat Potongan Simpanan Takaful

Pada mulanya, saya rasa ragu-ragu juga nak ambil insuran ni tetapi setelah Skim Takaful Nasional diperkenalkan yang Islamik, barulah saya mula membuat caruman.

Pada masa tu, saya hanya mengambil RM100 sebulan selama 15 tahun sahaja. Kenapa 15 tahun? Ini kerana selepas 15 tahun anak sulung saya akan tamat persekolahan tingkatan lima dan akan mula melanjutkan pelajaran ke peringkat tertingg...InsyaAllah. Jadi bolehlah duit tersebut digunakan untuk menampung perbelanjaannya nanti...

#Tip 4 - Sewa Rumah Sebelum Beli

Ada sesetengah orang berpendapat, elok beli dari awal kerana harga rumah akan naik. Itu betul Harga rumah sekarang, mencacnak-canak aje naiknya. Tapi kita kena fikir, kalau baru-baru bekerja, larat ke nak bayar pinjaman kereta, pinjaman rumah, keperluan rumah, anak dan sebagainya. 

Kami hanya memiliki rumah sendiri setelah hampir 10 tahun bekerja. Satu tip nak beli rumah, beli rumah yang belum dibina kerana biasanya harganya lebih murah berbanding dengan harga rumah yang sedang atau siap dibina. Contoh, rumah yang kami beli sekarang sama harga dengan rumah jiran di sebelah. Sedangkan rumah kami "corner lot". 

#Tip 5 - Banyakkan Bersedekah atau berinfak

Macama man pula tu... dah lah cukup-cukup makan je, suruh bersedekah pula?

Ini sebenarnya yang paling penting. sedikit atau banyaknya gaji kita tidak penting tetapi yang utama keberkatan yang ALLAH s.w.t beri apabila kita banyak bersedekah atau paling kurang memberi kepada kedua-dua orang tua kita.

Kaum lelaki terutamanya, tanggungjawab mereka kepada kedua-dua orang tua amat besar. jangan kerana sudah beristeri mereka diabaikan. Utamakan mereka, InsyaAllah, berkat doa mereka rezeki kita akan bertambah dan rasa cukup walaupun sedikit.

Firman ALLAH dalam Surah Al Baqarah, Ayat 215:
 
"Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya."

ALLAH juga berfirman dalam Surah Al Baqarah, Ayat 245:

Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.

Surah Al Baqarah, Ayat 261:

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti dengan sebiji / sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai (bulir), pada tiap-tiap tangkai  pula ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Berdasarkan ayat-ayat tadi, jelaslah bahawa betapa besarnya pahala sedekah ni. Itulah keberkatan yang kita harapkan. Bukan hanya ganjaran di dunia tetapi yang paling utama di akhirat nanti.

Mungkin, banyak lagi tip-tip lain. Cuma yang saya kongsikan ini, apa yang kami buat dan Alhamdulillah walaupun ekonomi gawat, kami masih boleh bertahan. Cuba bayangkan anak-anak kami semuanya bersekolah agama swasta yang memerlukan pembayaran bulanan yang agak mahal. Dengan izin ALLAH, kami mampu menjelaskan bayaran tersebut demi untuk memberikan pendidikan agama yang terbaik buat anak-anak.

Itu  sahaja bingkisan saya kali ini dan jika pembaca nak beri sebarang komen...saya alu-alukan...
















4 ulasan:

  1. Tip2 harian macamana? Perlu ke nak makan di restoren lepas ni. Takut jadi lebih mahal...patutnya lebih murah dari harga sekarang kan. Tapi ramai dah naikkan harga sebelum gst bermula

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sebenarnya bergantung kepada kita nak makan di restoran ke tidak. Kalau rasa nak jimat, elok juga masak kat rumah je. Tp sekali sekala nak makan kat luar tu, tiada masalah kot...Mungkin dua kali sebulan...

      Padam
  2. Tips kewangan yang sesuai diamalkan untuk penjimatan terutama menjelang GST.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mana2 yg sesuai boleh diamalkan mek ila...

      Padam