Jumaat, 20 Mac 2015

MUJAHADAH

Assalamualikum wbt dan salam petang Jumaat yang mulia..

Pada petang ini, saya nak kongsikan tazkirah yang diambil daripada perkongsian di Whatssaps Group tentang Mujahadah. Semoga dapat kita ambil ibrah daripadanya dan  Allah berikan ganjaran pahala kepada penulisnya...InsyaAllah.

                                **********************

"Membantah ketetapan Allah ketika turunnya ketentuan itu mematikan agama dan tauhid. Serta mematikan tawakkal dan ikhlas." Kata-kata al-Kailani dalam khutbah pertamanya yang dimuatkan dalam buku Fathu Ar-Rabbani.

Mujahadah adalah satu istilah yang sering kita dengar dan jumpa dalam pengajian tasawwuf atau akhlak. Perkataan ini berasal dari 'jihad' yang bererti usaha dan sungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredhai. Ia juga membawa pengertian penentangan terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain seperti hawa nafsu, diktator, kezaliman dan sebagainya. Dalam ilmu tasawwuf mujahadah lebih menitikberatkan kepada usaha melawan hawa nafsu secara bersungguh-sungguh untuk mencapai redha Allah.

Almarhum Said Hawwa dalam kitabnya تربتنا الروحية menyebut rukun mujahadah ada 4 iaitu;

1- Memencilkan diri ( al-uzlah)

Yang dikehendaki dengan al-uzlah di sini ialah memencilkan diri daripada segala kekufuran, kemunafikan dan pembuat kejahatan termasuk menjauhkan diri daripada majlis yang mempersendakan ayat-ayat Allah.

"Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah dan aku akan berdoa kepada Tuhanku mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku."                             
                                                                        (Surah Maryam:48)

"Dan apabila kamu melihat orang memperolok-olokkan ayat -ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim sesudah teringat akan larangan itu."                                                                   
                                                                        (Surah Al-an'am:68)

Walau bagaimanapun uzlah ini bukanlah berpanjangan sepanjang masa. Ia merupakan ubat hati untuk melawan sifat mazmumah. Sekiranya hati sudah terubat dan tidak terikut kepada kejahatan maka hendaklah dizahirkan kebenaran di hadapan kebatilan sebagaimana hadis nabi SAW:

 "Tetap akan ada dalam kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan terhina dengan penghinaan yang dilemparkan kepada mereka..."

2- Berdiam (as-somt)

Orang tua-tua ada berkata "sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa." Sabda nabi SAW yang bermaksud:

 "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata perkataan yang baik ataupun dia diam."

As-somt yang dikehendaki di sini ialah menjaga lidah daripada daerah dosa dan lagha seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba, bertengkar, memaki hamun, bercakap perkara yang tidak berfaedah atau sia-sia dan sebagainya. 

Sekiranya keadaan memerlukan kita untuk bercakap atau bersuara seperti amar makruf dan nahi mungkar, mengajar manusia tentang Islam, maka ketika itu berdiam adalah haram. Diam adalah wasilah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Ia bukanlah matlamat dalam kehidupan kita.

3- Berlapar (al-juu')

Hukum asal dalam soal makan minum ialah makan untuk menguatkan tubuh badan dalam mengerjakan suruhan Allah SWT. Membazir dan berlebihan adalah dilarang sama sekali.

"Hai anak adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makanlah dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan"                                                                                                                      (Surah al-a'raf:31)

Orang yang sentiasa berlapar akan dikurniakan kejernihan hati dan hikmah. Lapar akan melemahkan nafsu untuk mengerjakan kejahatan. Di antara Rukun Islam ialah berpuasa. Puasa disifatkan oleh nabi Muhammad SAW sebagai pendinding diri daripada mengerjakan sesuatu yang dilarang. Sabda nabi SAW: 

"Wahai para pemuda! Barangsiapa yang mampu berkahwin, maka kahwinlah. Sesungguhnya dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu adalah pendinding."

4- Berjaga malam (As-sahr)

Islam mengajar umatnya supaya pandai mengurus dan membahagikan masa. Sekiranya tidak pandai menguruskan masa tidur, maka ianya boleh menyebabkan kita mengalami kerugian yang besar. Kita berkemungkinan tidak dapat solat subuh secara berjemaah, beristighfar pada waktu fajar, solat tahajjud dan isya' secara berjemaah.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman syurga dan mata-mata air. Sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan selalu memohonkan keampunan pada waktu pagi sebelum fajar." 
   
                                                                      ( Surah Az-zariyat:15-18)

Amat malang pada zaman sekarang ini manusia berjaga malam bukan untuk beribadat tapi untuk buat maksiat. Keindahan malam yang mahal tiada tolok nilai harganya ditukar dengan noda dan dosa. Lebih malang lagi sekiranya solat subuh tidak terlaksana apatah lagi solat tahajjud. Orang lain solat tahajjud...kita bangun terkejut!

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan