Assalamualaikum w.b.t…
Gembira, ceria dan bangga tergambar di raut wajah seseorang
wanita apabila doktor mengesahkan berita
gembira bahawa dia telah positif hamil. Kesyukuran ke hadrat Allah tidak lupa
dipanjatkan. Berita gembira ini pasti tidak lupa untuk dikongsikan bersama
suami tercinta. Apatah lagi jika sudah lama berkahwin dan baru sahaja
berpeluang untuk menimang cahaya mata pertama. Begitulah perasaan saya dan
rasanya juga kepada semua wanita yang telah berumah tangga.
Saya sendiri agak lewat juga menimang cahaya mata pertama
akibat tiga kali mengalami keguguran. Jadi kehamilan seterusnya, saya mendapat
perhatian khusus dari pakar perubatan sehinggalah kandungan saya masuk bulan
keempat. Alhamdulillah semuanya berjalan
dengan lancar hingga ke saat kelahiran anak sulung iaitu seorang bayi lelaki
yang beratnya 3.25 kg. Besar juga untuk anak pertama.
Sehinggalah akhirnya saya berjaya memperoleh lima orang
cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Boleh dikatakan semuanya lahir
dalam lingkungan berat 3.95 kg hingga 4.1 kg. Memang masa mengandung saya ,
selera makan agak bertambah. Agaknya pengambilan Obimin dan pil-pil lain menyebabkan saiz anak agak
besar.