Sabtu, 28 Jun 2014

MARHABAN YA RAMADAN

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, syukur kerana dapat menunaikan ibadah terawih dan seterusnya berpuasa pada hari ini. Bumi Kuantan pada awal pagi ini agak sejuk seketika kerana cuaca yang mendung dan hujan renyai-renyai membasahi bumi.

Anak-anak pun mudah bangun untuk bersahur. Syukur hari pertama berpuasa jatuh pada hari Ahad. Jadi, mereka taklah penat sangat kerana berada di rumah.

Program Madrasah Ramadan selama sebulan bermula pada hari ini. Semoga kita telah persiapkan diri untuk ditarbiyyah oleh Allah dengan meningkatkan amalan wajib dan sunat kita.  Selain melaksanakan ibadah puasa, ibadah-ibadah lain seperti solat lima waktu, solat-solat sunat(terawih, tahajud, hajat, rawatib dsb) perlu dipertingkat. Tak lupa juga basahkan lidah kita dengan kalimah zikrullah, bertahmid, bertasbih serta berselawat ke atas Rasulullah saw. Selain itu, jangan dilupakan amalan bersedekah.  Sedekahlah walaupun sedikit. Mungkin yang sedikit itu dinilai tinggi di sisi Allah. Jadi ambil kesempatan untuk bersedekah pada setiap hari. Semoga kita peroleh ganjaran pahala yang besar dari Allah. 

Diriwayatkan dalam hadis Qudsi oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Allah swt berfirman: 'Semua amal anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.'

Begitu besarnya amalan puasa ini di sisi Allah. Oleh itu, kita perlu buat yang terbaik sambil mengharapkan ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

Al Quran, nur mukjizat yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah saw bertepatan pada bulan Ramadan al Mubarak ini perlu dibaca dan difahami maksudnya. Hidupkan suasana tadarus al Quran di rumah waima di tempat kerja agar kita dapat menyemarakkan bulan ini dengan aktiviti ukhrawi.

Menurut Imam al Ghazali, puasa(dari kaca mata tasawuf) terbahagi kepada tiga tingkatan iaitu:

1. Shaum al-Umum(puasa orang kebanyakan) - sekadar menahan perut daripada lapar dan dahaga serta anggota sulit daripada syahwat.

2. Shaum al-Khusus(puasa khusus) -merupakan puasa orang-orang soleh iaitu menahan anggota badan daripada melakukan kemaksiatan enam perkara berikut iaitu:
  • Menjaga mata daripada melihat sesuatu yang buruk menurut kaca mata agama.
  • Menjaga lisan daripada berdusta, memfitnah dan berkata keji
  • Menjaga telinga daripada perkara yang haram
  • Menjaga seluruh anggota tubuh daripada perbuatan negatif
  • Menjaga agar tidak makan berlebihan saat berbuka puasa
  • Menjaga hati agar berada antara khauf(takut) dan raja'(berharap) dan sedar bahawa Allah swt berhak menerima atau menolak ibadah puasa kita. 
3. Shaum Khusus al-Khusus(puasa golongan yang khusus daripada khusus) -puasa ini merupakan puasa tiga golongan iaitu:
  • Para nabi
  • Al-Siddiqun(orang-orang) yang jujur)
  • Al-Muqarrabin(orang-orang yang dekat dengan Allah)
Puasa golongan ini menduduki tingkatan yang tertinggi yang mana puasa mereka mencakupi puasa hati daripada sesuatu yang hina serta urusan duniawi malah hanya mengharapkan bekal ukhrawi.

Kalau merujuk tingkatan puasa di atas, jelas kebanyakan daripada kita hanya berada di tahap satu. Namun, bukan bermakna kita tidak boleh melangkah ke tahap kedua. InsyaAllah, kita perlu berusaha dan berazam untuk memcapainya. Yang penting ikhtiar kita yang Allah akan nilai. Kita cuba buat yang terbaik, InsyaAllah hasilnya pasti manis.

Janganlah kita lalaikan diri kita dengan perkara2 yang lagha seperti menonton televisyen(tambahan musim Piala Dunia ni), shopping , berfacebook, mengumpat, bersembang kosong, bergurau senda yang keterlaluan atau sebagainya. Jaga hati, mulut dan mata dari terlibat perkara-perkara maksiat yang dilarang oleh Allah. Tanamkan dalam hati untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukan selama ni dan hanya mengharapkan pengampunan dan rahmat Allah semata-mata.

Semoga, kita semua dapat 'graduate' dari Madrasah Ramadan dengan result yang cemerlang serta bersih jiwa raga kita daripada unsur-unsur kemaksiatan dan dosa. Kemudiannya dapatlah kita menyambut kehadiran Syawal dengan penuh kesyukuran.

SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA BUAT RAKAN-RAKAN PEMBACA DAN SEMUA UMAT ISLAM DI SELURUH DUNIA.

RAMADAN KAREEM...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan