Rabu, 18 Jun 2014

Penyakit: Perlu diubati atau tidak ?

Assalamualaikum buat para pembaca yang dikasihi sekalian..

Semoga semuanya dalam keadaan sihat, tenang  dan ceria di samping menjalankan tugas-tugas seharian. Dalam kesibukan kita melaksanakan tugasan kita sama ada sebagai pekerja mahupun sebagai suri rumah, kita atau ahli keluarga kita tidak terlepas daripada pelbagai ujian Allah. Ujian Allah kepada kita dalam pelbagai bentuk. Antaranya terlibat dalam kemalangan, bencana alam, kehilangan orang yang disayangi atau pelbagai penyakit yang kita seperti demam, batuk, selesema, batu karang, gout, kencing manis, darah tinggi, stroke, kanser dan sebagainya lagi...

Kali ini, saya nak kongsikan kepada para pembaca tentang penyakit. Apakah kita perlu ubati atau kita biarkan sahaja. Ini kerana terdapat pelbagai pandangan alim ulamak tentang isu ini. Mereka berbeza pendapat kerana  berbeza cara dalam memahami al-Quran dan hadis.

Jika kita lihat firman Allah dalam Surah As-Syuara:80, yang bermaksud:

     " Apabila aku(Nabi Ibrahim a.s) sakit, maka dialah yang menyembuhkanku."

Manakala, Rasulullah saw dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Ma'sud r.a bersabda yang bermaksud:

     " Apabila Allah menurunkan penyakit, dia juga menurunkan ubat."

                                                                      (Riwayat Ibnu Majah)


Malah diriwayatkan juga, apabila sekumpulan Arab bertanya kepada Baginda saw, "Wahai Rasulullah, bolehkah kami berubat?" Baginda pun bersabda yang bermaksud:

 " Berubatlah wahai para hamba Allah! Sesungguhnya Allah SWT apabila meletakkan sesuatu   penyakit, Dia juga meletakkan penawarnya."

Terdapat tiga pendapat ulamak berkaitan hal ini.
  1. Dibolehkan -Menurut sebahagian ulamak bahawa berubat dibolehkan namun yang lebih utama tidak berubat. Ini merupakan mazhab yang masyhur daripada Imam Ahmad rhm.
  2. Disunatkan-Menurut sebahagian ulamak pula, berubat adalah perkara sunnah. Ini merupakan pandangan para ulamak pengikut mazhab asy-Syafi'i.
  3. Ditekankan-Pendapat ini pula dipilih oleh Abu al-Muzhaffar.
Namun, jika kita nak berubat, mestilah dengan cara yang betul mengikut syarak. Janganlah menggunakan unsur-unsur syirik seperti mendapatkan khidmat bomoh atau dukun yang tidak betul atau cara-cara lain yang diharamkan oleh Islam.

Menurut Syeikh Muhammad bin Shalih al-'Utsaimin, beliau memperincikan hukum berubat kepada tiga iaitu:
  1. Melakukannya menjadi wajib -jika dirasakan berubat lebih bermanfaat dan juka meninggalkannya boleh menyebabkan kebinasaan.
  2. Melakukannya menjadi keutamaan-Apabila dipastikan bahawa berubat sangat bermanfaat namun juka meninggalkannya tidak mengakibatkan kebinasaan, maka melakukannya menjadi keutamaan.
  3. Meninggalkannya menjadi lebih utama-Dijangkakan dengan berubat, kadar kesembuhan dan kebinasaan adalah sama, maka meninggalkannya menjadi lebih utama agar kita tidak terjerumus dalam kehancuran tanpa disedari.
Dalam pandangan ahli sunnah, meninggalkan rawatan atau berubat hanya khusus untuk para nabi, rasul dan wali Allah seperti mana yang dialami oleh Nabi Ayub yang menderita penyakit bertahun-tahun, namun baginda tidak pernah berubat kerana merasakan penyakit yang ditanggung adalah ujian Allah yang perlu dialami atau dirasai. 


Jadi, untuk kita yang terdiri daripada masyarakat awam atau biasa, jika dirasakan penyakit itu masih boleh diubati, maka kita perlulah berikhtiar untuk mengubatinya. Sebenarnya, penyakit ni tanda kasih sayang Allah kepada kita. Dia ingin menguji sama ada kita tahan menghadapi ujian atau lemah. Jika kita bersabar dan reda dan pada masa yang sama berusaha  untuk mengubatinya, maka InsyaAllah, keimanan kita akan semakin meningkat. Yakinlah bahawa ALLAH itu maha mengetahui yang terbaik buat kita dan berdoalah kepadaNya kerana DIA MAHA PENYEMBUH...

(Untuk rujukan lanjut bolehlah membaca buku bertajuk : "Allah Doktorku, Wahyu Ubat Penyakitku" oleh Mukhlas Asy-Syarkani Al Falahi terbitan Telaga Biru}

Tiada ulasan:

Catat Ulasan