Rabu, 10 Disember 2014

JOM MELANCONG KE TAIPING…

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia buat semua rakan pembaca.


Diharapkan kita semua dalam keadaan yang sihat, tenang dan ceria di samping keluarga tercinta. 


Apa perancangan yang anda semua lakukan sempena curi  persekolahan hujung tahun ni???


Sedang pening kepala memikirkan hendak membawa anak-anak melancong?? Bagi yang tidak pernah ke Taiping, apa kata bawa family untuk bercuti ke sana. 


Saya sekeluarga pun baru sahaja pulang dari sana. Kebetulan suami orang Taiping, jadi sambil-sambil bercuti tu dapat juga mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan ibu dan pak mertua…


Apa yang menarik sangat di Taiping tu??? Mungkin itu yang bermain-main dalam fikiran kita.  Sebenarnya Taiping ni merupakan Bandar warisan atau Bandar bersejarah yang mempunyai banyak kesan-kesan peninggalan sejarah. Jadi, kalau nak tahu tentang sedikit sebanyak sejarah Bandar Taiping ni, eloklah ke sana..


Bandar Taiping merupakan ibu kota bagi daerah Larut, Matang dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong. Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil.  Daripada asalnya milik orang Melayu, akhirnya Bandar ini dihuni oleh kaum Cina yang kebanyakannya adalah pelombong-pelombong bijih timah.


TEMPAT-TEMPAT MENARIK UNTUK DIKUNJUNGI


Di sini, saya akan kongsikan tempat yang menarik yang boleh  kita kunjungi jika ke Taiping. Antaranya ialah:

1. Muzium Perak
 
Muzium Perak merupakan institusi muzium tertuabukan hanya di negeri perak malah  di negara ini. Ia telah  diasaskan oleh Sir Hugh Low pada tahun 1883. Pelbagai koleksi yang dapat kita lihatseperti pelbagai koleksi spesimen zoologi, herbarium dan alat budaya masyarakat Melayu. 


Pembinaan bangunan muzium ini diusahakan oleh Residen Perak, Sir Hugh Low dan kurator pertama Muzium Perak ialah Leonard Wray Jr. Keunikan bangunan muzium yang berunsurkan senibina Moorish ini merupakan pusat penyelidikan, pengumpulan, dan pemeliharaan warisan harta kebudayaan masyarakat tempatan serta sejarah alam semulajadi.

Muzium ini yang ditadbir oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti mempunyai tarikan utama iaitu koleksi orang asli yang lengkapdan terbaik. Selain itu, terdapat juga peralatan-peralatan peninggalan British seperti sauh kapal, tugu peringatan, kapal terbang dan lanca.  






2.   Zoo Taiping dan Night Safari
 
Night Safari merupakan satu tarikan baru bagi bandar Taiping dan yang pertama di Malaysia. Night Safari telah dirasmi pada 15 Jun 2003 oleh DYMM Sultan Azlan Shah memberi satu kelainan kepada pengunjung di mana keindahan dan keaslian alam semulajadi di waktu malam dapat dilihat.



Night Safari mempamerkan hidupan-hidupan haiwan yang aktif di waktu malam yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menghayati suasana alam semulajadi dan habitat asal hidupan liar di mana bunyi pelbagai jenis haiwan dapat didengari seperti burung pungguk, musang, kijang, harimau kumbang dan sebagainya.



Night Safari Taiping adalah satu produk perlancongan unik di mana haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dipamerkan dengan menggunakan lampu-lampu khas yang seakan-akan cahaya bulan.



Pengunjung dapat menghayati suasana alam semulajadi dan habitat asal hidupan liar di mana bunyi pelbagai jenis haiwan dapat didengari.



Untuk menghayati sepenuhnya pengalaman ini, pengunjung dikehendaki meminimakan bunyi-bunyian atau suara supaya dapat mendengar bunyi-bunyi haiwan ini, serta tidak mengganggu ketenteraman di Night Safari.



Kita juga dilarang membawa lampu suluh dan kamera berflash di Night Safari kerana ini akan mengganggu haiwan yang dipamerkan.



Kalau tak nak pergi pada waktu malam, kita boleh pergi pada waktu siang. Anak-anak pasti seronok melihat haiwan-haiwan di sana.


3. Kompleks Sejarah Matang(dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim)


Mungkin kita pernah membaca dan belajar  tentang Ngah Ibrahim kan. Apa kata kita melawat pula ke Kompleksnya. Kompleks Sejarah Matang  yang terletak di Bukit Gantang, Matang (dulu Permatang), Perak, telah dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan adalah anak kepada Cek Long Jaffar.




Long Jaffar ni merupakan  orang Melayu pertama yang telah membuka perusahaan lombong bijih timah di kawasan Larut, Matang dan Selama pada tahun 1840. Kompleks ini adalah merupakan sebuah bangunan yang beliau jadikan sebagai rumah, kota dan juga pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan-bahan yang terdiri daripada batu batan sahaja.



Setelah Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, Kota ini diletak dibawah pengawasan pentadbiran Inggeris sehingga ianya dijadikan sebagai Maktab Perguruan Melayu Matang (1913-1922). Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1913-1941).



Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) ianya berperanan sebagai Markas Tentera Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, ianya dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1945-1984).


4.    Bangunan Warisan


Walaupun bandar Taiping semakin pesat membangun namun masih banyak Bangunan-bangunan warisan yang terdapat di Taiping. Antaranya bangunan kerajaan dan rumah kedai yang  senibinanya adalah dari pengaruh Inggeris. Rumah kedai kebanyakkannya diimport dari China dan dipengaruhi pula oleh arkitektur kolonial yang berkembang pada abad ke 16 hingga pertengahan abad ke-20.



Senibina kolonial ini adalah senibina yang dibawa oleh penjajah-penjajah Eropah yang pernah menjajah Malaysia seperti Portugis, Belanda dan Inggeris yang telah diubahsuai mengikut keadaan iklim Malaysia.



Senibina yang sering digunakan ialah Utilitarian, Neo-Classical, Palladian, Minnan, Moden dan sebagainya.


5. Taman Tasik Taiping


Ini merupakan antara tempat yang kami sering berkunjung jika berkesempatan. Taman Tasik Taiping merupakan kawasan rekreasi bekas lombong bijih timah yang tertua di Malaysia. Taman tasik ini dibuka pada tahun 1880. Zoo Taiping terletak di taman tasik ini. Keluasan taman tasik di bandar Taiping ini, mencapai hingga 62 hektar.




Kalau hendak berjogging atau beriadah bersama keluarga, amat sesuai. Terdapat trek jogging dan taman permainan untuk anak-anak. Suasana sekitar amat menghijau,sejuk dan nyaman. Dikelilingi pokok-pokok yang berusia ratusan tahun. Satu panorama yang fantastik.


6. Mee Udang Mak Jah Kuala Sepetang


Mee Udang Mak Jah memang tak boleh ditandingi oleh sesiapa. Sudah puas melancong tu, kita pergi ke Kuala Sepetang untuk menikmati keenakkan Mee Udang Mak Jah. Betul-betul “power” Mee Udang Mak Jah ni. Sekali rasa, pasti nak lagi. Udangnya dah lah segar, banyak pula tu. Memang puas hati…Rugi  bagi sesiapa yang sampai ke Taiping tetapi tak ke sana…rindunya nak makan Mee Udang lagi!!!




7. Tempat-tempat penginapan

Sudah penat melancong, tentu nak rehatkan diri. Jangan bimbang, jika tiada saudara-mara di sana, banyak hotel-hotel dan homestay yang boleh ditempah. Antara hotelnya seperti Hotel Seri Warisan, Hotel Vistana Micassa, Hotel Legend Inn dan lain-lain. Boleh google sendiri ya.
 


Bagaimana, menarik kan. Jadi, kalau rasa bosan kat rumah tu pergilah melancong ke Taiping. Jangan asyik ke “shopping mall” je. Bawa anak-anak kita untuk mengenal sejarah Negara kita. Jangan lupa bawa supplemen ya, biar badan bertenaga…nak lawat banyak tempat ni..SELAMAT BERCUTI..


#JOM MELANCONG

#CUTI-CUTI MALAYSIA

6 ulasan:

  1. Wah banyak tempat yang bersejarah boleh dikunjungi diTaiping ni ye...Salam ziarah dan salam ukhuwah dari bunda...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, memang banyak tempat menarik. Terima kasih kerana berkunjung ke blog saya.

      Padam
  2. Assalamualaikum...
    Wow,banyaknye tempat yang boleh dikunjungi

    BalasPadam
  3. banyak udang...pernah makan mee udang..udang nya dah lah 1..kecik..rm5..macam tak berbaloi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semasa kami makan kat sana memang puas hati. Kat mana pn. Iryanty makan?

      Padam