Khamis, 23 Oktober 2014

AMALAN-AMALAN SEMASA HAMIL




Assalamualaikum w.b.t…

Gembira, ceria dan bangga tergambar di raut wajah seseorang wanita apabila doktor mengesahkan berita gembira bahawa dia telah positif hamil. Kesyukuran ke hadrat Allah tidak lupa dipanjatkan. Berita gembira ini pasti tidak lupa untuk dikongsikan bersama suami tercinta. Apatah lagi jika sudah lama berkahwin dan baru sahaja berpeluang untuk menimang cahaya mata pertama. Begitulah perasaan saya dan rasanya  juga kepada semua wanita yang telah berumah tangga. 

Saya sendiri agak lewat juga menimang cahaya mata pertama akibat tiga kali mengalami keguguran. Jadi kehamilan seterusnya, saya mendapat perhatian khusus dari pakar perubatan sehinggalah kandungan saya masuk bulan keempat.  Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar hingga ke saat kelahiran anak sulung iaitu seorang bayi lelaki yang beratnya 3.25 kg. Besar juga untuk anak pertama.


Sehinggalah akhirnya saya berjaya memperoleh lima orang cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Boleh dikatakan semuanya lahir dalam lingkungan berat 3.95 kg hingga 4.1 kg. Memang masa mengandung saya , selera makan agak bertambah. Agaknya pengambilan Obimin  dan pil-pil lain menyebabkan saiz anak agak besar. 

Apabila melihat anak-anak yang semakin membesar, teringat balik saat-saat mengandungkan mereka. Anak sulung sudah berumur 16 tahun, manakala yang bongsu berumur 6 tahun.  Susah senang untuk membesarkan mereka tidak akan dapat dilupakan. Hanya Allah yang tahu dan semoga pengorbanan kita diberi ganjaran oleh Allah. InsyaAllah.





Pelbagai amalan yang elok dilakukan apabila disahkan mengandung .  Semoga apa yang saya paparkan ini dapat dikongsi bersama para pembaca semua.





Antara amalan yang baik dilakukan oleh ibu-ibu hamil ialah:

1. Membaca doa-doa tertentu untuk mengelakkan keguguran serta menguatkan rahim (terutama 3 bulan pertama). Antara doanya:
a). Membaca surah Al-Hij’r ayat 97, 98 dan 99:  

                                   



Maksudnya:
Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.

b) Membaca zikir Ya Mubdi.     Bermaksud Pencipta
Hendaklah suami atau seseorang membaca zikir tersebut di atas sebanyak 99 kali pada waktu sahur (sebelum Fajr) dan meletakkan tangan di atas perut isterinya atau perempuan yang sedang hamil.
c) Membaca doa tersebut di bawah:

 


 Maksudnya: 
Ya Allah, Tuhan yang mengenggam langit sehingga tidak jatuh ke bumi, ia tegak tanpa atap. Genggamlah janin yang ada di rahimku, sempurnakan dia hingga dia lahir dengan baik dan selamat.

2. Sentiasalah bertaubat dan beristighfar kepada Allah. Seelok-eloknya lakukanlah solat sunat taubat seminggu sekali. Selain itu, perbanyakkan solat sunat tahajjud, solat hajat serta banyakkan berdoa kepada Allah.

3. Perbanyakkan membaca ayat-ayat al Quran seperti :
a) Surah Lukman(untuk memperoleh  anak yang cerdik akal dan jiwa)
b) Surah Maryam(untuk memudahkan  ibu bersalin dan mendapat anak yang taat)
c) Surah Yusuf(untuk mendapat anak yang cantik akhlak dan rupa paras)
d)Surah-surah lain seperti al Fatihah, Yasin dan Taubah.

4. Jaga pemakanan kita dan pastikan halal dan berkhasiat. Elakkan makan nanas, minuman bergas atau makanan segera, tapai terutama tiga bulan pertama. Selain itu, banyakkan makan kurma, kismis dan madu(selepas 6 bulan) untuk menguatkan minda anak-anak. Jangan lupa juga untuk minum susu kerana janin akan mengambil sumber kalsium dari tubuh kita menyebabkan kita akan kekurangan kalsium. Pengambilan pil-pil vitamin yang dicadangkan oleh doktor elok diambil seperti asid folik, iron dan kalsium.

Perbanyakkan makan kurma



Susu sumber kalsium penting untuk para ibu
5. Jaga emosi dan elakkan stress kerana ia mempengaruhi emosi bayi yang lahir. Saya sendiri pernah mengalaminya semasa mengandung anak pertama. Amat stress dan sensitive, tambahan pula semasa itu terpaksa berjauhan dari suami. Saya di Ipoh, manakala suami di Kuala Terengganu menyebabkan emosi tertekan. Kini, saya dapat lihat emosi anak sulung saya memang agak sensitif. Kurang bercakap dan banyak menyendiri. Jadi, kepada ibu-ibu semua elakkan terlalu beremosi semasa hamil. Jangan mengeluh dan sentiasa ceria dan banyakkan senyuman. InsyaAllah anak yang bakal lahir akan mengikut emosi kita.

6. Jaga adab kita dengan suami. Hormati dan sayangi suami. Jangan ambil kesempatan untuk meminta yang bukan-bukan. Sebaliknya ikut kemampuan suami. Suami yang baik sudah pasti akan berusaha menunaikan kehendak isteri.

7. Jangan lupa untuk bersenam seperti banyakkan berjalan kaki, senaman ringan yang boleh memudahkan proses  kelahiran bayi kita.

8. Elakkan daripada berdiri terlalu lama untuk menghindarkan terjadinya urat simpul atau vena varikos. Saya sendiri mengalaminya. Memang amat menyakitkan. Terpaksa pakai stoking yang sesuai dan kaki dilapik dengan bantal agar perjalanan darah berjalan lancar. Malangnya, vena varikos pada kaki saya masih kekal hingga sekarang kerana tidak bersungguh-sungguh menjaganya semasa hamil dahulu.

9. Elakkan melakukan perkara-perkara buruk seperti mengumpat, mengeji, mencaci atau bertengkar serta maksiat.

10. Banyakkan membaca doa Nabi Yunus untuk memudahkan proses kelahiran iaitu:
                                                         
                                          

2 ulasan:

  1. Maklumat yg sangat berguna bagi ibu2 mengandung untuk amalkan, supaya anak sihat dan diberkatiNya.

    BalasPadam
  2. Hanya sedikit perkongsian buat ibu2 hamil. Semoga mendapat manfaat.

    BalasPadam