Sabtu, 7 Februari 2015

ADAKAH ANAK KITA MENDAPAT PENDIDIKAN YANG TERBAIK?

Leka melihat si Iqbal dan Naimie bermain-main dengan rakan-rakannya di padang berhampiran. Gelak ketawa  dan aksi mereka mengimbau kenangan silam. Saat kita masih kecil dan masih di bangku sekolah rendah... 

Dunia anak-anak memang penuh dengan keseronokan. Tiada perasaan bimbang. Yang penting, gembira sahaja. Si Naimie yang sudah mahir berbasikal mengayuh laju meninggalkan adiknya. Lucu juga dengan telatah mereka.

Kadang-kadang terfikir juga adakah kita sudah memberi pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita. Sudah mantapkan pegangan agama mereka. Akhlak mereka macam mana? Bacaan al Quran mereka sudah lancar ke. Solat mereka sudah sempurna ke dan bermacam-macam lagi persoalan yang timbul.

Gambar hiasan
Bimbang juga, kalau-kalau terlepas pandang ada yang kita lupa berikan kepada mereka. Betullah kata orang, memenuhi keperluan anak-anak dari segi material mungkin mudah bagi sesetengah orang yang berkemampuan. Kita sanggup belikan mainan yang mereka suka, pakaian yang mahal-mahal malah makan dan minum mereka sentiasa kita pastikan cukup.

Apabila anak demam atau sakit, dengan segera kita bawa mereka ke klinik atau hospital. Begitu teliti dan prihatin serta sayangnya para ibu bapa kepada anak-anak. Siapa yang tak sayangkan anakkan???

Walaupun begitu, harus kita ingat bahawa anak-anak adalah amanah Allah swt buat kita dan kita akan diminta pertanggungjawaban pada hari akhirat nanti. Jangan sampai terlalu sayangkan anak-anak sehingga nak menasihati atau menghukum anak-anak pun kita tidak laksanakan.

Apatah lagi, pada masa kini timbul pula isu ibu bapa yang merotan anak-anak  akan dianggap penjenayah dan boleh dihukum. Dunia dah terbalik. Sedangkan dalam Islam, hukuman rotan dibolehkan terutama dalam soal solat. Apabila cukup umur 10 tahun, jika mereka enggan melaksanakan solat, anak-anak boleh dirotan.

Saya yakin hukuman rotan ni merupakan salah satu cara terbaik untuk mendisiplinkan anak-anak. Bukanlah bermakna kita perlu merotan mereka waima melakukan kesalahan kecil sekalipun. Mana yang boleh diberi nasihat dan teguran, nasihat dan tegurlah. InsyaAllah, teguran dengan cara berhikmah dapat menyedarkan mereka.

Menurut Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, dalam pendidikan anak-anak, ibu bapa perlu memberi penekanan dari segi pendidikan moral, jasmani, mental, rohani dan sosial.

Didik anak-anak kita supaya mereka kenal tabiat-tabiat yang tidak bermoral seperti berdusta, mencuri, mencaci, menyeleweng dan sebagainya. Betulkan tindakan anak-anak jika kita sudah nampak ada tabiat-tabiat yang tidak baik ini mula bercambah dalam diri mereka.

Kita juga perlu menjelaskan kepada anak-anak tentang hak-hak mereka dan pada masa yang sama mendidik mereka agar memelihara hak orang lain seperti rakan-rakan, jiran tetangga atau saudara-mara. Contohnya, jika mereka mengambil barang orang lain, tanya mereka barang itu kepunyaan siapa. Jelaskan kepada mereka bahawa mereka tidak boleh mengambil hak teman mereka. Seterusnya minta mereka pulangkan kembali.

Adab-adab dalam Islam dan adat bermasyarakat perlu diasuh agar mereka membesar dalam suasana beradab. Adab-adab makan, minum, masuk tandas, meminta izin, memberi salam dan selainnya wajar dipupuk dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil. 

Anak-anak perempuan perlu ditanam sifat-sifat malu dan diajar menutup aurat dengan sempurna terutama apabila mereka telah mumayyiz. Kalau kita perhatikan anak-anak gadis kita semakin bebas bergaul, sehinggakan nampak perasaan malu sudah terkikis dalam diri mereka. Mereka tiada rasa malu untuk bercakap dengan nada yang tinggi, berpakaian menjolok mata dan lain-lain perbuatan yang tidak sedap mata memandang.

Gambar Hiasan
Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada anak-anak lelaki dan perempuan batas-batas pergaulan antara mereka. Janganlah diberi kebebasan mutlak kepada mereka sehinggakan keluar pada waktu malam pun kita izinkan. Jangan  tunggu  nasi menjadi bubur...nanti kita juga yang  menyesal.
  
Amat malang pada zaman sekarang, adab-adab dan pendidikan yang baik ini sudah semakin ditinggalkan. Tanya diri kita mengapa ia berlaku. terlalu sibukkah kita dengan kerjaya dan mencari rezeki hingga tidak berkesempatan mendidik anak-anak kita. Kadang-kala kita sendiri sebagai ibu bapa pun gagal mengamalnya. Apatah lagi anak-anak kita yang masih berusia dini. 

Janganlah tunggu rebung sudah jadi buluh baru kita hendak melenturnya. Sama-samalah kita ambil cakna perihal anak-anak terutama pada akhir zaman yang mana fitnah semakin bermaharajalela.

Sekadar peringatan buat kita bersama.
Gambar hiasan





Tiada ulasan:

Catat Ulasan