Sabtu, 9 Mei 2015

MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah syukur kepada Allah masih lagi dapat bernafas pada hari ini.
Alhamdulillah atas segala nikmat, keselesaan serta rezeki yang sentiasa cukup buat kami sekeluarga.
Alhamdullah...Alhamdulillah...Alhamdulillah

Mungkin sudah ramai yang membaca buku yang berjudul "Mudahnya  Menjemput Rezeki" yang ditulis oleh Saudara Fathuri Salehuddin. Syukur, akhirnya saya juga diberi kesempatan oleh Allah untuk membacanya. 

Buku yang pada pendapat saya amat menarik dibaca dengan laras bahasa yang mudah, santai dan bersahaja. 

Apabila membacanya, kita dapat gambaran yang lebih jelas tentang rezeki. Apabila disebut rezeki sahaja biasanya kita fikirkan tentang duit atau wang atau gaji atau pendapatan. Sedangkan hakikatnya takrif rezeki itu sendiri agak luas.

Jelas bahawa setiap makhluk itu telah ditetapkan oleh Allah rezeki masing-masing. Cuma bagaimana caranya kita menjemput rezeki agar datang kepada kita. Tidak semestinya gaji yang kita terima setiap bulan merupakan rezeki kita. Mungkin ia rezeki bagi mekanik kereta,  peminta sedekah atau sesiapa sahaja. Yang menjadi milik kita adalah apa yang kita guna dan pakai.

Penulis menyatakan bahawa rezeki kita boleh bertambah atau berkurang.  Rezeki kita sebenarnya sudah  ada tetapi kadang-kala kita tidak tahu cara menjemputnya. Firman Allah swt yang bermaksud:

Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusannya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.

                                                                     (Surah Ath-Thalaq, 63:3)


Penulis membahagikan buku ini kepada empat bahagian iaitu:
Bahagian 1 : Apa Itu Rezeki?
Bahagian 2: Menjemput Rezeki?
Bahagian 3: Cerita Menjemput Rezeki?
Bahagian 4: Apa Perlu Saya Buat Sekarang?

InsyaAllah berkongsian yang penulis berikan amat baik untuk kita praktikkan terutama buat sesiapa sahaja yang menjalankan bisnes atau perniagaan.

Antara cara menjemput rezeki yang telah penulis sarankan ialah:
1. Mengutamakan solat
2. Melakukan Solat Tahajjud
3. Melaksanakan Solat Dhuha
4. Banyakkan berzikir
5. Banyakkan memohon doa kepada Allah
6. Banyakkan mendoakan orang lain
7. Banyakkan bersedekah
8. Banyak membaca al Quran
9. Zikir Asma' ul Husna
10.Banyakkan bersyukur
11. Lebihkan berusaha

Penulis juga turut kongsikan cerita-cerita menarik yang berlaku terutama kepada sesiapa yang suka bersedekah. Dengan bersedekah memang Allah telah janjikan akan melipatgandakan rezeki kita dan yang paling penting kita mesti yakin bahawa janji Allah itu pasti. Setidak-tidaknya pahala ganjaran bersedekah yang amat besar sudah kita miliki sebagai bekalan di hari akhir nanti.

Terlalu banyak yang dikongsi penulis. Terpegun membacanya. Terasa tidak puas. Bagi sahabat-sahabat semua yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, bolehlah membelinya. Semoga Allah memberi ganjaran pahala buat Saudara Fathuri. Terima kasih buat penulis yang telah memberi panduan berguna untuk dipraktikkan oleh kita.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan