Bismillahi rahmanir rahim....
Agak lama tidak menjenguk blog sendiri. Kesibukan dengan pelbagai tugasan harian serta kekangan masa tidak memberi kesempatan dan ruang untuk berblogging. Alhamdulillah tak sangka walaupun lama tidak update masih ada rakan pembaca yang masih sudi melayari blog ini. Terima kasih diucapkan buat semua.
Saat ini, berita yang menjadi tumpuan ramai ialah gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Gaza. Akhirnya, pejuang Mujahiddin berjaya menewaskan satu bangsa yang angkuh iaitu Israel. Walaupun begitu, kemusnahan yang melanda Gaza memerlukan dana yang besar untuk dibangunkan kembali. Marilah kita sama-sama menyumbang wang atau harta kita untuk Gaza. Ingat, sumbanglah kepada badan-badan NGO yang sah. Jangan tersilap menyumbang pula.
Selain itu, masalah pelantikan jawatan Menteri Besar Selangor yang belum berkesudahan. Semoga akan wujud penyelesaian yang terbaik. Jangan kerana kerakusan kita akan sesuatu menyebabkan nasib rakyat di Selangor terjejas. Pemimpin yang dipilih perlu menunaikan amanah sebaik mungkin kerana jika kita cuai, lalai dan silap dalam menjalankan tugas, semua akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di hari akhirat nanti...
Esok, tanggal 31 Ogos kita akan menyambut kemerdekaan negara kita buat kali ke-57. Tema, "MALAYSIA.... DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA" yang merupakan lirik dari lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad dipilih menjadi
tema sambutan Hari Kemerdekaan pada kali ini. Lagu dendangan Allahyarham Sudirman ini memang sarat dengan unsur patriotisme yang perlu dihayati oleh semua warganegara Malaysia terutama generasi muda.
Tidak dapat dinafikan cinta kepada tanah air amat penting. Sewajarnya, kita bekerjasama mempertahankan tanah air daripada ancaman luar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara. Namun begitu, jangan kita lupa....cinta yang paling Agung khusus buat Allah swt. Berdoalah kepadaNya agar negara kita tetap dalam keadaan aman sejahtera dan kita dapat hidup bersama dalam suasana yang harmoni...
Inilah Logo Hari Kemerdekaan untuk tahun
ini yang dipilih daripada 1,586 hasil ciptaan peserta Pertandingan Mereka
Cipta Logo Hari Kemerdekaan ke-57. Logo Hari Kemerdekaan ke-57 direka oleh Abdul Mutalib Abd. Rahman, seorang pereka grafik di sebuah syarikat swasta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan