Sabtu, 30 Ogos 2014

LAMBAIAN KAABAH

Bismillahi Rahmanir Rahim....

Musim Haji kembali lagi!!! Para jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun ini tentu sedang sibuk membuat persiapan dan persediaan untuk memastikan semua kelengkapan haji telah sempurna. Bagi yang pertama kali menunaikan fardhu haji sudah tentu merasa seronok, teruja, rasa berdebar-debar dan tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah al-Mukarramah.  Pelbagai gambaran mungkin terlintas dalam fikiran kita.. yang paling utama tentulah rumah Allah iaitu Kaabah yang selama  ni hanya dilihat di dada-dada akhbar atau di kaca televisyen. Kali ini, Allah bagi peluang untuk kita menatapnya dengan mata hati kita sendiri. Subhanallah begitu besar pahalanya, walaupun hanya sekadar melihat kaabah. Allah beri 20 rahmat untuk sesiapa yang menatapnya. Bersyukurlah kerana kita terpilih antara jutaan manusia. Laksanakan amalan haji kita dengan mempersembahkan yang terbaik untuk Allah.

Bagi yang pernah menunaikan umrah, mungkin lain sedikit perasaannya. Pengalaman mengerjakan umrah dapat menjadi panduan serba sedikit untuk membantu kita mengerjakan  ibadah haji dengan sempurna. Namun sebenarnya ibadah umrah dengan haji  ada  perbezaannya. Alhamdulillah, saya sendiri telah diberi peluang oleh Allah untuk mengerjakan umrah pada tahun 2012 dan kemudiannya mengerjakan haji pula pada musim haji tahun 2013. Walaupun baru  sahaja selesai mengerjakan haji tetapi apabila mendengar sahabat-sahabat nak pergi ke Makkah, rasa rindu untuk ke sana  masih lagi menebal. Mata ingin menatap Kaabah,  mengerjakan saei,solat di Masjidil Haram, tawaf, wukuf di Arafah, bermalam di Mina dan Mudzalifah serta melontar di Jamrah. Pengalaman yang sungguh berharga yang tidak akan luput sampai bila-bila.

Jumaat, 29 Ogos 2014

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-57

Bismillahi rahmanir rahim....

Agak lama tidak menjenguk blog sendiri. Kesibukan dengan pelbagai tugasan harian serta kekangan masa tidak memberi kesempatan dan ruang untuk berblogging.  Alhamdulillah tak sangka walaupun lama tidak update masih ada rakan pembaca yang masih sudi melayari blog ini. Terima kasih diucapkan buat semua.

Saat ini, berita yang menjadi tumpuan ramai ialah gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Gaza. Akhirnya, pejuang Mujahiddin berjaya menewaskan satu bangsa yang angkuh iaitu Israel. Walaupun begitu, kemusnahan yang melanda Gaza memerlukan dana yang besar untuk dibangunkan kembali. Marilah kita sama-sama menyumbang wang atau harta kita untuk Gaza. Ingat, sumbanglah kepada badan-badan NGO yang sah. Jangan tersilap menyumbang pula.

Selain itu, masalah pelantikan jawatan Menteri Besar Selangor yang belum berkesudahan. Semoga akan wujud penyelesaian yang terbaik. Jangan kerana kerakusan kita akan sesuatu menyebabkan nasib rakyat di Selangor terjejas. Pemimpin yang dipilih perlu menunaikan amanah sebaik mungkin kerana jika kita cuai, lalai dan silap dalam menjalankan tugas, semua akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di hari akhirat nanti...

Esok, tanggal 31 Ogos kita akan menyambut kemerdekaan negara kita buat kali ke-57. Tema, "MALAYSIA.... DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA" yang merupakan lirik dari lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad dipilih menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan pada kali ini. Lagu dendangan Allahyarham Sudirman ini memang sarat dengan unsur patriotisme yang perlu dihayati oleh semua warganegara Malaysia terutama generasi muda.