Selasa, 3 Mac 2015

SUNGGUH MULIA HATINYA...

Assalamualaikum w.b.t..

Semasa beratur di kaunter pembayaran di sebuah pusat membeli-belah di Kuantan semalam, entah kenapa  tiba-tiba sahaja saya  tertarik melihat  gelagat seorang wanita yang berada di hadapan.  Pada awalnya saya tidak begitu menghiraukan barang yang dibelinya tetapi apabila melihat barang yang dibelinya,hati saya tertanya-tanya, dia ni peniaga ke...

Dalam troli yang ditolaknya terdapat lima botol besar minyak bunga matahari dan beberapa bungkus taufu. Oleh sebab naluri ingin tahu tu agak kuat, terus saya menegurnya.... "Adik, banyak beli minyak, nak niaga ke," tegur saya. Tapi dalam hati dah terfikir takkan orang guna minyak matahari untuk berniaga...bukan ke mahal tu.

Dia akhirnya menjawab," Tak kak. Saya bukan nak berniaga tapi saya secara sukarela memasak untuk rumah orang-orang tua." Tersentak saya seketika. Begitu mulianya dia, bayangkan usianya masih muda dalam lingkungan akhir 20an tetapi dia mempunyai jiwa yang begitu suci untuk membantu orang lain.

" Bagusnya adik kerana sanggup memasak untuk warga emas ni. Adik di bawah NGO apa ya? " tanya saya lagi.  

"Tak dalah kak, saya buat secara persendirian dan tidak terlibat mana-mana NGO. Memang setiap bulan, saya akan memasak untuk mereka terutamanya rumah orang-orang tua sekitar Kuantan ni. " MasyaAllah, kagum saya dengannya.

Dia ceriakan kepada saya yang sejak di bangku sekolah lagi dia telah membuat kerja-kerja amal tersebut semasa menyertai Badan Beruniform Pandu Puteri. Usaha tersebut masih diteruskan sehingga sekarang. Ini kerana dia telah menjalin hubungan yang akrab dengan warga emas di Rumah Orang Tua tersebut.  Mereka sering menghubunginya sehingga menyebabkan ukhuwwah antara mereka begitu erat. 

Saya betul-betul kagum dengannya. Saya sendiri pun tak mampu buat begitu...Ya, bukan senang untuk kita melibatkan diri dalam kerja-kerja amal tersebut. Ia menuntut pengorbanan masa, tenaga  malahan wang kita juga.

Saya ingin bertanya lagi, dari mana dia mendapat sumber kewangan untuk membeli barang-barang tersebut. Namun tidak kesampaian kerana dia telah selesai membayar harga barangnya... Tak sempat pula untuk bertukar-tukar nombor telefon...

Sebenarnya dalam kehidupan kita ni, kita akan bersua dengan orang-orang yang istiqamah dalam melakukan kebaikan. Sesungguhnya ia amat dituntut dalam agama islam sendiri. Menolong dan menggembirakan warga emas yang berada di Rumah Orang Tua merupakan satu amalan terpuji. Bukan semua orang yang sanggup melakukannya.

Namun begitu, jangan kita lupa sebelum kita berbakti kepada orang lain, pastikan kita berbakti terlebih dahulu terhadap kedua-dua ibu dan bapa kita. Mereka berdualah yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu apatah lagi jika  kedua-duanya telah sampai ke usia senja. Makan minum dan penjagaan diri kedua-duanya perlu diurus sebaik mungkin. Bahkan ganjaran pahala yang amat besar oleh ALLAH s.w.t akan diberi kepada seiapa yang  memelihara kedua-duanya.

Semoga para ibu bapa yang mempunyai anak sebegini akan merasa bangga dengan anak-anak mereka. Didiklah anak-anak kita sebaik mungkin agar mereka juga mampu  menjadi insan yang berhati mulia.

**sekadar renungan buat semua sahabat pembaca

Tiada ulasan:

Catat Ulasan