Jumaat, 19 Disember 2014

PINTU-PINTU PAHALA PELEBUR DOSA (SIRI 2)

Assalamualaikum wbt...

Pada kali ini, saya  ingin menyambung lagi artikel saya yang bertajuk "Pintu-pintu Pahala Pelebur Dosa Lalu". Semoga kita sama-sama dapat mengamalkan dalam kehidupan kita. Memandangkan sebagai insan yang lemah, kita tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sama-samalah kita beramal...

11. Berwuduk 

   Kita hendaklah sentiasa dalam keadaan berwuduk dan sentiasa memperbaharui wuduk. Wuduk yang diambil dengan sempurna dapat menghapuskan dosa-dosa lalu. Bahkan sebaik-baiknya air wuduk tidak dilap(dibiarkan kering sendiri).

Firman Allah dalam surah At Taubah, ayat 108 yang bermaksud:

      " Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)"

Sabda Nabi Muhammad saw bersabda:

      " Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna iaitu membasuh semua anggota wuduk sebanyak tiga kali pada setiap anggota wuduk, maka ini adalah wudukku dan wuduk para Nabi."
                                                                           (Diriwayatkan oleh Ahmad)
12. Membina Masjid

        Apabila kita membina masjid di dunia ini, Allah swt akan membina syurga untuk kita di akhirat. Sudah pasti kita tidak mampu membina sebuah masjid kerana kosnya amat tinggi. Sebenarnya yang  boleh kita lakukan adalah memberi sumbangan derma untuk pembinaan masjid apabila diperlukan walaupun sedikit. Niat dengan ikhlas semoga Allah memberi pahala seumpama kita membina masjid.

13. Solat Lima Waktu

       Seseorang yang menjaga solat lima waktu iaitu solat wajib, InsyaAllah Allah akan leburkan dosa-dosanya. Solat yang terbaik ialah solat di awal waktu dengan wuduk yang sempurna, khusyuk dalam solat serta menjaga rukun-rukun solat. Ingatlah amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat kelak ialah tentang solat. Oleh itu, jagalah solat kita.

Firman Allah dalam Surah al mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud:

     "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."

Daripada Abu Darda, Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud:

       " Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, kemudian mendirikan solat sama ada dua atau empat rakaat, rukuk dengan sempurna dan khusyuk kepada kedua-duanya, ke,udian memohon ampun kepada Allah, maka dia akan diampuni."
                                                                            (Diriwayatkan oleh Ahmad)

14.Selawat kepada Nabi Muhammad saw

          Kita dianjurkan agar banyak berselawat kepada Rasulullah saw. Ia merupakan satu cara untuk meraih pahala Allah. Perbanyakkan  selawat terutamanya pada hari Jumaat agar kita mendapat syafaat daripada Rasulullah saw pada hari akhirat kelak.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

           " Orang yang bakhil itu ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku."
                                                                         (Diriwayatkan oleh Tirmidzi)

15. Puasa

         Selain berpuasa pada bulan Ramadan, kita disunatkan untuk berpuasa pada hari-hari tertentu seperti Isnin,  Khamis, hari Asyura dan sebagainya. Setiap ibadah puasa yang kita lakukan akan       dapat menjauhkan kita daripada api neraka seandainya dilakukan dengan sempurna.

16. Sedekah

          Amalkan selalu sikap suka bersedekah. Ajar dan didik diri kita untuk sentiasa bersedekah. Lagi baik kita sediakan tabung khusus untuk kita bersedekah setiap hari. Amalan bersedekah amat tidak disukai oleh syaitan. Sedekah bukan hanya dengan wang ringgit atau harta benda malah apa jua kebaikan yang kita lakukan adalah sedekah. Sedekah yang baik tidak diiringi dengan mengungkit-ungkitnya kembali.

17.Membuang Gangguan Dari Jalan

          Jika kita membuang objek berbahaya di jalanan seperti kaca dan duri supaya orang lain tidak cedera atau ditimpa kemalangan, maka Allah akan memberi ganjaran pahala yang besar untuk kita.

18. Berbuat Baik Kepada Haiwan

          Apabila kita melihat haiwan yang kelaparan atau kehausan, wajar kita menghulurkan makanan atau minuman kepadanaya. Allah sangat sayang kepada hamba-hambaNya yang mencintai haiwan dan memsukkan mereka ke dalam syurganya.

19. Ketaatan Seorang Isteri Kepada Suaminya

        Alhamdulillah sebenarnya kaum wanita ni Allah bagi banyak kelebihan dan sangat mudah untuk masuk ke syurgaNya. Namun, ada syaratnya iaitu hendaklah dia taat kepada suaminya.

Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

       "Apabila seorang perempuan menjaga solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan menjaga kemaluannya serta mentaati suaminya maka dia akan masuk syurga melalui pintu-pintu mana pun yang dia kehendaki."
                                                                                                    (Riwayat Ibnu Hibban)

 20. Tidak Meminta-minta kepada Orang Lain

     Hidup kita di dunia ini selagi mempunyai tenaga dan kudrat yang dikurniakan Allah hendaklah digunakan sebaik-baiknya. Berusahalah dengan tangan sendiri dan jauhilah daripada meminta-minta kepada orang lain. Allah lebih suka orang yang berusaha sendiri berbanding dengan orang yang meminta-minta.

21. Mendidik dan Mengasihi Anak Perempuan

     Anak perempuan aadalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Mengutamakan anak perempuan merupakan sunnah Nabi Muhammad saw. Sayangi, lindungi, didik dengan sempurna dan tanggung beban kehidupannya, InssyaAllah, Allah menjanjikan syurga buat ibu bapa yang pengasih ini.

   Namun, apa yang paling penting selain kita mengamalkan amalan yang disenaraikan di atas, pastikan pada setiap masa kita, lidah kita sentiasa beristighfar serta bertaubat(dengan mengerjakan solat sunat taubat) bagi memohon keampunan Allah swt. 

      Sabda Nabi Muhammad saw:

      " Andaikan kamu berbuat dosa  sehingga dosamu mencapai langit, kemudian kamu bertaubat nescaya Allah memberi keampunan kepada kamu.
                                                                                   (Riwayat Ibnu Majah)

   Maha Pengampunnya Allah kepada kita sebagai hambaNya. Oleh itu, bersegeralah bertaubat kepada Allah agar dosa-dosa kita  akan diampunkannya. Peringatan dan tazkirah ini saya tujukan buat diri saya sendiri yang kadang-kala masih alpa dan lalai dan sering terpalit dosa sama ada  disedari atau tidak. Ya Allah, permudahkan urusan kami di dunia dan akhirat.

              
             
              "

         
             


1 ulasan: