Khamis, 18 Disember 2014

PINTU-PINTU PAHALA PELEBUR DOSA (SIRI 1)

Assalamualaikum...

Pada kali ini, Ummi mahu mengajak pembaca bersama-sama  mengetuk pintu pahala bagi melebur segala dosa-dosa lalu yang pernah kita lakukan sama ada kita sedar ataupun  tidak. Semoga dapat dimanfaatkan...

1. Sentiasa Mengingati Allah

    Kita hendaklah sentiasa mengingati Allah swt dengan cara berzikir kepadaNya. Apabila berzikir., hati kita akan menjadi tenang dan menjauhkan daripada gangguan nafsu dan syaitan.

    Firman Allah dalam surah Ar-Rad, ayat 28:

    "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah"

2. Keluar untuk Menuntut Ilmu

    Seseorang yang menuntut ilmu serta menyampaikan pula kepada orang lain, Allah SWT akan memudahkan baginya laluan ke syurga. Oleh itu, setiap Muslim perlu menuntut ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

3. Membaca al Quran

    Orang yang membaca al Quran akan mendapat syafaat di akhirat. Al Quran itu menjadi saksi kepada amalan kita di dunia ini. Oleh itu, perbanyakkan membaca al Quran. Setiap hari, pastikan kita membaca sekurang-kurangnya satu halaman.

4. Melawat Orang Sakit

    Orang muslim yang datang melawat orang sakit, malaikat akan berselawat kepadanya. Malah, di akhirat Allah akan memberi keizinan kepadanya untuk memilih salah satu taman daripada taman-taman syurga.

     Sabda Rasulullah saw: 

"Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka dia berada di taman syurga sehingga dia kembali.  
                                                        (Diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmidzi)

5. Membantu Melunaskan Hutang

    Apabila kita membantu kawan-kawan atau saudara mara melunaskan hutang mereka, InsyaAllah urusan kita di dunia dan di akhirat dipermudahkan oleh Allah SWT.

     Sabda Rasulullah saw:

 " Sesiapa yang ingin diselamatkan oleh Allah daripada kesulitan Hari Kiamat, maka hendaklah dia meringankan beban orang yang kesulitan membayar hutang ataupun membebaskan kesemuanya."
                                                                                 (Hadis Riwayat Muslim)

6. Menutup Aib Orang lain

    Jika kita menutup aib kawan-kawan, adik-beradik dan seluruh kaum muslimin di muka bumi ini, maka Allah akan memelihara kita dan menutup aib kita.

    Sabda Rasulullah saw: 

"Sesiapa yang menutup aib orang Islam, maka Allah menutup keburukannya di dunia dan akhirat."                                                      (Riwayat Muslim)

7.Berakhlak yang Baik

   Sesiapa yang bertakwa dan mempunyai akhlak yang baik, Allah akan pelihara kita. Dengan izinNya, kita akan terpilih untuk masuk ke dalam syurganya.

  Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw berkata:

 "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."
                                                                     (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Menyambung Tali Silaturrahim

    Hubungan silaturrahim sesama Muslim perlu dipererat. Jika kita memelhara ikatan ini dengan sesama manusia, maka Allah akan memelihara hubungan kita denganNya.

    Sabda Rasulullah saw: 

" Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, hendaklah dia menyambung silaturrahim."    
                                                                     (Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Berbakti kepada Ibu Bapa

    Ibu bapa terutama yang telah tua perlu diberi perhatian oleh anak-anak. Seseorang anak yang berbakti kepada kedua-dua orang tuanya terutamanya yang sakit, uzur dan lanjut usianya maka Allah akan memelihara merek seperti mereka memelihara orang tuanya.

    Nabi Muhammad saw bersabda:

 "Redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa dan murka Allah bergantung kepada murka kedua-dua ibu bapa."         
                                                                                       (Riwayat Hakim)
Gambar hiasan

10.Menanggung Beban Hidup Anak Yatim

     Jikalau orang-orang Muslim dengan ikhlas menjaga anak yatim, maka Allah akan menempatkannya di dalam syurga. Anak yatim merupakan anak yang kematian ayahnya atau ibunya atau kedua-duanya.

     Sahlu bin Sa'ad meriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

 " Saya dan Orang yang memelihara anak yatim dan menyaranya akan duduk di syurga seperti ini(Nabi Muhammad menunjukkan kepada kami jari telunjuknya dan jari tengahnya yang dirapatkan)"
                                                                          (Diriwayatkan oleh Bukhari)

- InsyaAllah akan bersambung dalam siri kedua...

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan