Sabtu, 27 Disember 2014

RAMALAN HUJAN LEBAT SELAMA TUJUH HARI

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, banjir di Kuantan semakin pulih. Walaupun begitu kawasan lain di Pahang pula dinaiki air seperti Jerantut, Temerloh, Lipis dan Pekan. Lebuh raya Pantai Timur (LPT) ditutup kepada semua kenderaan. Begitu juga di negeri-negeri lain, banjir masih belum pulih sepenuhnya.

Amaran hujan lebat masih dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi  Malaysia.  Namun marilah sama-sama kita doakan agar hujan ini tidak  memburukkan lagi keadaan banjir di negeri-negeri yang terbabit.
                                      *********************************

Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia(JMM) meramalkan hujan lebat serta tiupan angin kencang bakal melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan Timur Johor bermula esok iaitu28 Disember sehingga  2 Januari depan.

Sehubungan dengan itu, keadaan banjir di beberapa buah negeri di seluruh negara terutamanya Kelantan, Pahang dan Terengganu dijangka semakin buruk ekoran menerima jumlah taburan hujan yang agak luar biasa bagi tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah JMM, Datuk Che Gayah Ismail berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu nasihat hujan lebat peringkat kuning yang bermula 28 Disember sehingga 2 Januari depan.

"Bagi tempoh itu, taburan hujan di beberapa negeri terutama di pantai timur menerima hujan luar biasa berbanding kebiasaannya dan ia akan memburukkan lagi keadaan banjir di negeri-negeri yang terbabit."

"Negeri lain yang  turut akan terjejas dengan keadaan itu termasuklah Perlis, Kedah, Perak Utara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Che Gayah menasihatkan semua penduduk yang terjejas akibat banjir bersiap sedia kerana keadaan mungkin bertambah kritikal pada minggu depan.

Katanya, cuaca beransur pulih awal Januari depan selepas melalui fasa hujan lebat yang berlaku pada 2 Januari ini.

Semua negeri dilanda banjir sudah tepu dan dilimpahi  air, "katanya.

*sumber Harian Metro-27 Disember  2014.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan