Rabu, 31 Disember 2014

IKTIBAR DARI TRAGEDI BANJIR 2014

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, dalam dua hari ni, cuaca semakin baik, matahari dah mula bersinar. Walaupun begitu, sekali-sekala hujan masih turun.

Banjir sudah semakin surut. Namun episod sedih masih menyelubungi mangsa banjir. Sedangkan trauma semasa banjir melanda belum hilang, mereka dikejutkan pula dengan kehilangan segala-galanya. 

 

(Foto-foto sekitar kemusnahan akibat banjir di Kuala Krai - credit to Raja Shamri)


Rumah tempat berteduh, sudah tiada. Kereta, perabot, pakaian malah semuanya rosak akibat banjir. "Totally lost" terutamanya di Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan. Bagaimana mereka hendak "survival" kembali. Mangsa banjir terpaksa memulakan kehidupan dari zero. Allahu Akbar, betapa berat ujianMu ya Allah untuk mereka. Bersabarlah...InsyaAllah, ramai yang bersimpati dengan anda. Sesungguhnya rakyat Malaysia amat prihatin.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir seperti pihak NGO, orang perseorangan, pihak Angkatan Tentera serta kerajaan yang berusaha menyalurkan bantuan dengan segera agar kehidupan mangsa banjir ini kembali pulih. Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak juga mengatakan bencana banjir yang berlaku pada tahun ini amat  dahsyat.

Tragedi banjir ini membawa banyak iktibar kepada kita untuk difikir dan direnungkan. Maha hebatnya kuasa Allah, tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Di sini, saya ingin kongsikan  ucapan Presiden Haluan Malaysia iaitu  Dr. Abdullah Sudin bin Abdul Rahman buat renungan kita bersama.

Jom sama-sama terus menyumbang...

                                             ######################

IBRAH BANJIR. MENGUBAH MUSIBAH MENJADI PELUANG

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusan baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberikan sesuatu yang menggembirakan, dia bersyukur, dan apabila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar. Maka kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)


Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada mangsa-mangsa banjir di pantai timur khususnya di negeri Kelantan yang keadaannya sangat mengharukan. Melihat apa yang berlaku benar-benar menyentuh nurani dan fitrah insani untuk sama-sama kita menghulur apa jua bentuk bantuan yang boleh diberikan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah cetusan hati relawan-relawan yang kini bergiat aktif menyusun gerak kerja dan membantu para mangsa banjir di lapangan. Kerosakan, kemusnahan, kehilangan harta benda dan kematian orang tersayang tentunya meninggalkan kesan kepada hati-hati insan yang melihat musibah ini dan apatah lagi bagi mereka yang menanggungnya.
Musibah, ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah SWT ini harus dilihat dengan kaca mata keimanan dan ketakwaan agar ia benar-benar menjadi bahan tarbawi (pendidikan) yang mendidik kita untuk tunduk, kembali dan berserah kepada Allah SWT yang Maha Kuasa, Maha Agung dan Maha Bijaksana.

Transformasi Musibah Menjadi Peluang

Bagi yang menjadi mangsa, keperluan untuk menghubungkan segala ketentuan ini kepada Allah SWT tentunya memerlukan mujahadah yang tinggi. Namun, sama-sama kita yakini bahawa setiap apa berlaku tentunya ada hikmah disebaliknya yang tidak terzahir pada mata kasar. Saat ini, mendidik jiwa dan hati untuk menjadikan musibah bencana ini sebagai peluang untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali. Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah : 155-157)


Maksud Firman Allah SWT :
“Tidak menimpa suatu bencana di bumi dan tidak kepada diri kamu melainkan telah ada dalam kitab sebelum Kami (Allah) melaksanakannya. Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah. (al-Hadid : 22)


Maksud Firman Allah SWT :
"Iaitu orang orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata. “Innalillahi wa inna ilaihiraa jiuun.“ (Al Baqarah : 156)


Musibah sebagai kafarah segala dosa dan kesalahan kita. Inilah peluang untuk kita membersihkan jiwa-jiwa dan hati-hati yang berkemungkinan telah jauh daripada Allah SWT. Mungkin juga, sebagai titik muhasabah untuk kita merenungi sekejap segala nikmat, kurniaan dan pemberian yang melimpah ruah kepada kita semua ini.

Persoalan-persoalan ini harus ditimbulkan dalam hati, agar lahir kepasrahan, kesabaran, ketabahan dan kebergantungan kita hanya sanya kepada Allah SWT.

Bagi yang tidak mengalami musibah ini, ini sebenarnya adalah peluang untuk kita juga. Peluang, kesempatan dan ruang untuk kita melipatgandakan pahala kita semua. Bukankah dengan membantu, mendoakan dan memberikan apa jua yang kita ada untuk meringankan bebanan mereka itu satu peluang melakukan kebajikan yang sedang terbentang luas saat ini?

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

“Iaitu orang yang menginfakkan, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Ali Imran : 133-134)

Pihak berkuasa sangat mengalu-alukan apa jua bentuk bantuan daripada rakyat Malaysia yang budiman untuk menyalurkan semua bantuan kepada mangsa agar segala keperitan, kerisauan dan kemurungan mereka mampu diringankan melalui tabung-tabung bantuan yang di sediakan oleh pelbagai pihak dan badan NGO yang prihatin untuk membantu mangsa banjir.

Bersama kita menggembleng tenaga, kudrat, wang ringgit dan apa jua yang kita miliki untuk saudara-saudara kita yang saat ini ditimpa musibah. Hulurkan bantuan, sedekah dan infak di saat senang dan susah adalah amalan yang mulia yang dicintai oleh Allah SWT. Justeru, marilah sama-sama kita merebut peluang ini untuk berbakti kepada mereka yang lebih memerlukan.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda:
"Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup ke’aiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup ke’aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim)


Sekian.



Adaptasi daripada Bicara Presiden, 2013
Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden HALUAN Malaysia
"berakhlak, mendidik & berbakti"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan