Selasa, 23 Disember 2014

PANTAI TIMUR DILANDA BANJIR AKIBAT FENOMENA 'NEW MOON'

Assalamualaikum wbt...

Hari ni, bumi Kuantan masih lagi disirami air hujan yang mencurah-curah turun sejak semalam. Keadaan cuaca agak mendung dan gelap. Beberapa tempat telah mula dilanda banjir.  Syukur Alhamdulillah, kawasan rumah saya masih lagi selamat. Cuma jalan masuk ke simpang  tidak boleh dilalui terutama ketika hujan lebat. Air dari parit kecil akan melimpah ke atas jalan. Jadi, terpaksa melalui jalan lain.

Penduduk di sekitar kawasan sungai seperti Perumahan Bukit Rangin, Perumahan Sungai Isap, Chenderawasih sudah diarahkan bersiap-sedia untuk berpindah. Malah sudah ada yang mula berpindah. Apakah banjir yang melanda pada tahun ini sama seperti tahun lepas. Wallahu A'lam. Sama-samalah kita berdoa semoga ia tidak seburuk seperti tahun lepas.



Hujan lebat berterusan dijangka sehingga 28 Disember. Manakala air pasang besar dijangka pada malam ini. Risau dibuatnya...semoga  semuanya selamat. Buat sahabat-sahabat pembaca yang memang berada di kawasan bencana banjri ni, diharap dapat berwaspada selalu. Yang paling utama, selamatkan nyawa dahulu...semoga tiada yang menjadi korban banjir.
 
Banjir di Kuantan

Banjir di Kuantan


Fenomena air pasang besar dikatakan berpunca daripada "New Moon Phenomenal". Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan banjir menjadi lebih teruk apabila ditambah dengan tiupan angin Monsun Timur laut secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini bermula bulan November hingga Mac.

"Meskipun hujan semakin reda dan tidak lagi lebat, namun air banjir dilihat sukar surut disebabkan fenomena 'new moon' yang mana bulan berada dekat dengan bumi yang menyebabkan  air pasang lebih tinggi dari biasa.

"Selain itu, hujan yang tidak berhenti-henti sebelumnya menyebabkan air sungai melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir teruk.

Dr. Mohd Hisham menerangkan bahawa terdapat tiga fasa musim monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat iaitu bulan November lalu, fasa 2 iaitu 16 -19 Disember. Fasa 3 iaitu 22 - 24 Disember. Namun begitu, dijangkakan ada fasa yang keempat iaitu 28 - 31 Disember.

Jabatan Meteorologi juga meramalkan tiupan angin kencang dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam di perairan pantai sehingga esok.

Laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 5.5 meter turut dijangka berlaku yang berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak. Kenaikan paras air laut di kawasan pantai di Kelantan, Pahang, Terengganu serta Johor Timur.

Walaupun apa fenomena yang berlaku, kita seharusnya muhasabah diri kenapa Allah menurunkan bencana sebegini kepada kita. Sekurang-kurangnya  bersyukurlah kerana nyawa kita masih ada walaupun mungkin kehilangan harta benda dan tempat tinggal. 

Ambil iktibar darpada musibah yang berlaku. Musibah datang berpunca daripada perbuatan kita sendiri yang tidak pandai menjaga alam sekitar. Pemusnahan hutan, penggondolan tanah untuk pembangunan serta masalah perparitan yang tersumbat adalah berpunca daripada kita sendiri. Maka kitalah yang menerima akibatnya. Benarlah firman Allah dalam Surah As-Syuraa ayat 30:
Maksudnya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan(atau bencana), maka ia adalah disebabkan apa yng kamu lakukan(dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Jadi, sama-samalah kita bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Semoga banjir kali ini dapat mendatangkan keinsafan kepada kita bukan hanya bermusim sahaja.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan