Anda ingin pelajari cara-cara pantas
menguruskan masalah kewangan?
Apabila merenung kembali di saat saya
kanak-kanak dahulu, dengan hanya wang 50 sen saya mampu membeli
sebungkus nasi lemak beserta teh panas. Kini dengan jumlah yang sama,
jika saya membeli sebungkus nasi lemak, mungkin saya hanya dapat bekas
pembalutnya sahaja. Nampak sangat nilai matawang kita semakin lama
semakin sikit nilainya. Perkara ini terjadi akibat daripada kenaikkan
kos sara hidup tanpa henti setiap tahun.
Hari ini, rakyat Malaysia telah dikejutkan
dengan pertambahan kos sara hidup yang baru iaitu cukai GST. 1
haribulan April 2015 merupakan tarikh bersejarah bagi negara ini,
kerana tarikh ini merupakan bermulanya kuatkuasa GST. Terus terang saya
katakan ramai di kalangan rakyat negara ini runsing akan wujudnya GST.
Mereka masih belum bersedia untuk menghadapi cabaran baru ini. Golongan
berpendapatan rendah dan sederhana antara golongan yang paling gelisah
dan golongan ini jugalah yang kini tengah sibuk-sibuk memikirkan
pencarian pendapatan baru bagi menampung kos sara hidup GST.
“Jangan bazirkan tenaga fokus kepada
masalah, lebih baik fokus seluruh tenaga bagi mencari jalan
penyelesaiannya.”
Bila difikirkan semula, memang tidak
dinafikan orang ramai akan menjadi marah? dengan GST ini. Lagi-lagi
jika kerajaan boros dan tidak uruskan kewangan dengan baik melalui
cukai yang diterima dari rakyat jelatanya. Bagi saya, GST wujud atau
tidak bukanlah perkara utama memberi lesen untuk anda membebel cerita
masalah kewangan diri serata negara. Bukankah lebih baik masa membebel
ini digunakan untuk membina satu pelan kontingensi bagi menangani
masalah GST sebelum ianya memudaratkan anda dalam jangka masa yang
panjang.
Saya amat peduli dengan keharmonian ekonomi
keluarga orang ramai, terutamanya mereka yang tidak pernah didedahkan
dengan ilmu-ilmu kekayaan dan kejayaan. Bagi mengurangkan kerunsingan,
saya bercadang untuk berkongsi beberapa tip-tip peribadi yang berkesan
ke atas diri saya dan saya berharap ia juga dapat memberi kesan positif
terhadap sesiapa yang membacanya.
Tip GST #1 : Akaun Kewangan Peribadi
Sebelum anda mencari pendapatan baru, apa
kata anda cek dahulu akaun kewangan peribadi anda. Cuba teliti
perbelanjaan-perbelanjaan bulanan anda sebelum ini, kemudian
bandingkannya dengan anggaran perbelanjaan yang bakal dikenakan GST.
Adakah berlaku peningkatan kos? Bagaimana pula dengan pendapatan
bulanan apatah lagi jika anda bergaji tetap, adakah ia masih mampu
menampung peningkatan kos ini?
Jika tidak, mulalah anda memotong kos-kos
yang tidak memberi manfaat diri seperti kos perbelanjaan hiburan. Sebelum
anda sibuk menjaga kewangan negara, lebih baik anda sibuk uruskan
kewangan keluarga terdahulu.
Tip GST #2 : Jangan Bakar Duit
Ini isu yang paling sensitif, kalau cakap
ni mesti confirm ada yang marah. Hentikan aktiviti-aktiviti bakar duit,
dalam bahasa lain beli rokok, apatah lagi jika ia merosakkan kesihatan.
Kos bagi merawat kesihatan bukanlah murah. Saya pernah terbaca satu
papan tanda di Jakarta yang bertulis “Jika anda miskin, anda jangan
jatuh sakit sebab kos merawat kesihatan itu tidak murah."
Anda faham ker tak faham apa yang
diperkatakan oleh papan tanda itu? Tak kisahlah anda tuan kepada
medical card takaful atau tidak, sebab bila dah sakit teruk nanti anda
akan tetap tafakur walau ada takaful.
Tip GST #3 : Buat Perbandingan
Jangan berbelanja 'memkhinzir' buta.
Rajinkan sikit diri itu, pilih di mana tempat hendak berbelanja dan
bandingkan harga dengan kedai lain. Pilih dan beli barang harga yang
paling menjimatkan kos. Berhati-hati dengan peniaga yang tamak, ini
kerana terdapat peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang atau
servis tanpa mempunyai pendaftaran cukai GST yang sah. Jika jumpa
peniaga macam ni, jangan bagi peluang, pergi lakukan report ke pihak
berkuasa berkenaan peniaga itu. Bak kata pepatah orang Melaka, “memang
hawau peniaga ni”.
Tip GST #4 : Memasak
Siapa yang rajin ke dapur sahaja faham
bahawa makan di rumah lebih murah kosnya dari makan di kedai.
Sepatutnya, makan di rumah lebih kos efektif dan sihat kecuali anda
penggemar makan mee segera yang akan memutuskan urat perut serta
gugurkan rambut. Alang-alang dah memasak, lebih baik jadikan ia bekal
ke tempat kerja atau sekolah.
Tip GST #5 : Pengangkutan
Masih ingat lagi satu ketika dulu, TV ada
mengeluarkan iklan “Jom berkongsi kereta." Mungkin jika iklan ini
dikeluarkan pada hari ini, pasti ramai yang akan mengikutnya. Kira kos
perbelanjaan pengangkutan bulanan anda, jika anda memandu kereta
sendiri dan rasa kosnya terlalu mahal maka ajak rakan sepejabat join
naik satu kereta dengan anda. Pakat-pakat dengan rakan, kongsi kos
petrol kereta. Kalau anda tidak mempunyai rakan, belajarlah pergi ke
tempat kerja dengan menaiki pengangkutan awam.
Tip GST #6 : Jangan Tambah Hutang
Sudah-sudahlah dengan perangai lagak
berbarang baru seperti berhutang duit membeli kereta baru sekadar untuk
ditayangkan orang sekeliling. Jangan tambah hutang yang tidak
mendatangkan hasil.
Tip GST #7 : Tambah Ilmu
Belajar membina kewangan. Bersedia untuk
laburkan sedikit wang dalam pencarian ilmu yang boleh meningkatkan
pendapatan bulanan anda. Anda boleh dapatkan ilmu ini menerusi bahan
bacaan seperti buku, majalah, internet dan media sosial. Jika ada pulus
lebih, cuba lapangkan masa untuk hadiri seminar-seminar dari mentor
yang berjaya. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja anda mampu menangani GST.
Tip GST #8 : Jom Berniaga
Bermulalah berniaga dengan modal yang
rendah, nak lagi best belajar niaga tanpa modal. Berniaga itu mudah.
Ramai anak didik saya berniaga secara online atau menjadi ejen dapat
hasilkan pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 sebulan.
Tip GST #9 : Tingkatkan Sedekah
Sedekah memilik kuasa dan impak yang besar
terhadap kehidupan. Melaluinya, Allah SWT mampu datangkan anda rezeki
tidak disangka melalui cara aturanNya yang cukup luarbiasa. Dengan
bersedekah juga, Allah SWT akan lapangkan setiap rezeki kita. Lagi
banyak anda bersedekah, Insya Allah lagi banyak anda akan menerimanya
kemudian.
Tip GST #10 : Tingkatkan Pergantungan
Kepada Allah SWT
Dari kesemua tip-tip diatas, tip terakhir
inilah yang paling penting dan utama yang wajib anda lakukan.
Tingkatkan lagi pergantungan diri kepada Allah SWT. Percaya di setiap
kesusahan yang diterima pasti ada kesenangan yang menjelma. Tidak akan
bergerak satu zarah pun jika Allah SWT tidak mengizinkannya.
GST bukanlah punca sebenar masalah kewangan
kita, diri kita sendiri merupakan punca utama kenapa wujudnya masalah
kewangan diri dan keluarga. Uruskan kewangan dengan cara yang terbaik
bagi mencipta kebebasan dari masalah kewangan di masa hadapan.
|
bagus betul entri ni. boleh tambah ilmu pasal kewangan.
BalasPadamYa betul tu.Ilmu yang dikongsi oleh DAO boleh dimanfaatkan bagi merancang kewangan kita terutamanya pada zaman sekarang ketika harga barang semakin naik.
BalasPadam