Ahad, 8 Mac 2015

MEMPERBAHARUI IMAN YANG LUSUH...

Bismillahir rahmanir rahim...

Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah pada hari ini, ummi berkesempatan untuk mengikuti program Taffaquh fi Din yang diadakan di sekolah anak. Tajuk yang disampaikan oleh Haji Mohd Ghani bin Salleh  amat menarik hati Ummi untuk dikongsikan dengan rakan-rakan pembaca semua. Semoga kita dapat muhasabah diri kita adakah kita termasuk golongan yang telah lusuh keimanannya...

Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya iman dalam hati salah seorang daripada kamu akan usang(lusuh) seperti usang dan lusuhnya pakaian. Oleh sebab itu mohonlah kepada ALLAH swt agar dia memperbaharui iman dalam hati kamu,"
(Hadis riwayat Thabrani dari Abdullah bin Amr)

*hadis dihasankan oleh As-Suyuthi Al Jami' As-Syaghir dan disahihkan oleh Nasyiruddin al Bani Shahihul Jami'

Berdasarkan hadis tersebut, hati manusia ini sentiasa berubah-ubah sama ada bercahaya dengan nur keimanan, gelap, hidup sakit bahkan mati.(nauzubillah).

Apabila iman kita lusuh, maka kita hilang kemampuan dan kemahuan untuk meningkatkan amalan kita kepada ALLAH swt. Oleh itu, adalah satu kewajipan ke atas kita untuk memperbaharui iman dalam hati  supaya sntiasa baharu dan bersinar. Iman yang progresif akan memberikan respon serta proaktif tentang masuliyah(tanggungjawab kita kepada ALLAH swt.

Kenapa Iman Mudah Lusuh?

Terdapat beberapa  sebab utama mengapa iman kita menjadi lusuh:

1.  Meninggalkan tilawatul Quran

Perumpamaan hati yang pemiliknya tidak membaca al Quran seperti rumah yang roboh. Malah jika al Quran ditinggalkan maka akan mengurangkan anugerah ALLAH kepada individu tersebut dan keluarganya.      

"Sesungguhnya rumah yang di dalamnya dibacakan al Quran akan melimpah kebaikannya. Manakala rumah yang tidak dibacakan al Quran akan sedikit kebaikannya."
                                                                                                    (HR al Bazza)
2. Jarang dan malas berzikir

Jika kita sedikit berzikir, bermalasan dalam beribadah akan mengakibatkan munafik jika tidak segera diubati.

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu ALLAH, ALLAH akan membalas tipudaya mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Merek bermaksud riak di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut nama ALLAH kecuali sedikit.
                                                                                                    (Surah An Nisa:142)

Menurut tafsir Filzilal berkaitan dengan ayat dalam surah an Nisa ini, ALLAH akan membalas mereka akibat menipu ALLAH. Antaranya:
a)  ALLAH akan menarik mereka sedikit demi sedikit kepada kejelekan dan membiarkan mereka dalam kesesatan
b) ALLAH tidak akan menimpakan musibah yang boleh menyedarkan mereka
c)  Mereka tidak ingat akan bencana yang boleh membuka matahati
d)  ALLAH akan membiarkan mereka berjalan di lembah kehinaan sehingga jatuh

Jadi, sebenarnya jika kita ditimpa musibah, bersyukurlah kerana ini bermakna ALLAH masih sayang kepada kita dan ingin kita sedar, insaf dan bertaubat atas dosa-dosa kita. 

3.Berlumba-lumba untuk meraih duniawi(tanafasud Dunia)

Manusia pada masa kini disibukkan dengan mengejar harta. hati mereka berfokus dalam urusan dunia sehingga meninggalkan tujun utama ALLAH ciptakan manusia iaitu untuk beribadat kepadaNYA dan memakmurkan iman kepada ALLAH.

Bagaimana kita hendak tahu sama ada kita termasuk golongan tanafasud dunia ni atau tidak? Ada indikator yang boleh kita semak sama ada wujud atau tidak pada diri kita. Antaranya:

    i)  Memandang remeh dan tidak berhati-hati dalam memilih makanan, minuman, pakaian, kenderaan, rumah dan sebagainya.
   ii)  Benci kepada pencari akhirat, mencaci, menekan malah menghina mereka
   iii) Benci dan memusuhi orang lain yang"lebih" daripadanya dalam meraih dunia
   iv) Memandang hina terhadap nikmat ALLAH dan tidak redha dengan takdirNYA.
   v) Permusuhan berterusan kerana berebut dengan kepentingan dunia
  vi) Sibuk dalam mencari dunia sehingga melupakan akhirat secara total
  vii) Membincangkan tentang dunia, kemewahan, keindahannya dan cara meraihnya secara terus-menerus.

ALLAH s.w.t berfirman dalam hadis Qudsi:
   
" Sesungguhnya kami menurunkan harta untuk menegakkan solat dan mengeluarkan zakat, Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah emas, maka ia akan ingin lembah yang kedua. Seandainya dia memiliki yang kedua, maka dia ingin memiliki yang ketiga kecuali tanah(mati). kemudian ALLAH akan menerima taubat orang yang bertaubat."
                                                                                 (As-Shahihah:1215)

Begitulah tamaknya kita terhadap dunia..Perbuatan ini jelas amat buruk dan tercela di sisi ALLAH swt. Sama-samalah kita berdoa agar dijauhkan ALLAH daripada sifat sebegini...

Diharapkan tazkirah ringkas ini dapat membuka minda kita agar muhasabah diri kita adakah iman kita terhadap ALLAH swt masih kukuh dan teguh atau telah lusuh dan usang seperti mana lusuhnya pakaian kita. Marilah kita memperbaharui kembali iman yang lusuh ini agar pengakhiran hayat kita adalah dalam keredaan ALLAH swt jua. Dalam sibuk mencari harta, jangan dilupa pengakhiran kita. Wallahu a'lam...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan