Rabu, 4 Mac 2015

GAYA HIDUP SIHAT CEGAH KANSER...

Assalamualaikum w.b.t....

Apa perasaan kita jika diberitahu oleh doktor bahawa kita menghidap kanser. Bukan tahap satu tapi tahap empat. MasyaAllah... tentu terperanjat dibuatnya. Apatah lagi jika diberitahu yang kita hanya ada beberapa bulan sahaja lagi untuk bernafas di bumi Allah ni...

Realitinya memang situasi ini banyak berlaku pada masa kini. penyakit kanser  ni sudah menjadi penyakit nombor satu di dunia. 

Ada pelbagai penyakit kanser atau barah ni seperti kanser tulang, serviks, prostat, otak, ovari dan lain-lain lagi.


Apakah kanser ?
 
Kanser atau barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidak seimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya, sel ini akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor.




Tumor boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Barah pula terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Sel barah boleh merebak ke organ yang lain menyebabkan komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multi organ akan menyebabkan kematian.


Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.  

Sila rujuk laman web berikut untuk keterangan lanjut    :   http://www.myhealth.gov.my/index.php/apa-itu-kanser

Apakah penyakit ini tidak boleh dicegah atau dirawat?

Selalunya doktor atau pakar akan menyarankan kaedah kemoterapi untuk membunuh sel-sel kanser tersebut. Namun begitu bukan hanya sel-sel kanser yang mati malah sei-sel lain juga. Inilah yang menyebabkan pesakit yang baru selesai menjalani rawatan kemoterapi mengalami masalah tiada selera makan, rambut gugur dan lain-lain lagi.

Terdapat juga pelbagai rawatan alternatif untuk penyakit kanser.  Jadi, pesakit kanser boleh berikhtiar merawat dengan rawatan secara alternatif ini.

Kanser Boleh dicegah?

Betul ke kanser boleh dicegah. Memang boleh. Seandainya kita berusaha mengamalkan cara hidup sihat. Tapi bagaimana? Ok, jom baca langkah-langkah yang perlu kita amalkan untuk mencegah kanser.

Langkah 1

Pakar nutrisi menyarankan agar kita memperbanyak makan buah-buahan dan sayur-sayuran.  Buah-buahan yang perlu diambil ialah buah-buah yang mengandungi antioksidan yang tinggi seperti buah berries seperti blueberry, rasberry, Muscadine Grape, anggur merah dan sebagainya. 


Manakala sayur-sayuran yang elok diambil seperti brokoli, lobak, bayam, kubis brussel dan lain-lain lagi. Buah-buahan dan sayur-sayuran ini bukan hanya tinggi kadar antioksidan malah mempunyai pelbagai vitamin yang baik untuk kesihatan kita.

Langkah 2

Jangan merokok. Ini yang paling sukar ditinggalkan terutama oleh perokok-perokok tegar. Jadi, para isteri bolehlah pujuk-pujuk si suami agar tinggalkan rokok. Asap rokok merupakan penyumbang utama terhadap barah paru-paru. 

Langkah 3

Jangan minum alkohol atau minuman keras. Ini jelas ditegah dalam agama Islam. Sewajarnya arak ditinggalkan kerana haram meminumnya. Malah arak juga punca segala kejahatan....

Langkah 4

Lakukan aktiviti fizikal secara berkala. Antaranya jogging, berjalan, senamrobik, bermain futsal atau lain-lain aktiviti. Ia perlu dilakukan secara berkala iaitu sebanyak tiga kali seminggu selama 30 minit. Aktiviti fizikal ini bukan hanya dapat mengeluarkan peluh malah menyihatkan serta mencerdaskan tubuh badan dan minda kita... Ayuh, kita bersenam...



Langkah 5

Cegah kegemukan atau obesiti.  Menurut kajian pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh Socso didapati hampir separuh daripada 308,039 orang pekerja bakal berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan. Pekerja yang mengalami masalah berat badan berlebihan hampir 36.94%, manakala masalah  obesiti pula hampir 17.63%....kadar yang menakutkan!!!



Jadi, berusahalah untuk mendapatkan berat badan yang ideal atau  BMI yang sesuai dengan ketinggian kita. 

Langkah 6

Kita perlu sentiasa peka dengan tubuh badan kita sendiri. Jika mengalami penyakit yang lambat sembuh atau berlarutan sakitnya maka pergilah berjumpa doktor untuk menjalani ujian saringan  bagi kanser serviks, kanser kolorektal atau payudara. Mungkin jika perlu buat mamogram dan juga ultrasound untuk memastikan kita sentiasa "aware" dengan kesihatan sendiri.

Jadi, apa yang penting....kita sendiri perlu mengubah gaya hidup kita. Kalau kita tidak mengubahnya, siapa lagi...pilihan di tangan kita...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan