Sabtu, 7 Februari 2015

MENGAPA DOA KITA TIDAK DITERIMA???

Assalamualaikum w,b,t....

Doa dianggap "otak ibadah". Sepanjang hidup kita, tak dapat tidak pasti akan mengadu kepada ALLAH dan memohon doa dalam apa jua urusan hidup kita. Adakah ada antara kita yang tidak pernah berdoa? Rasa-rasanya tidak ada.   Kalau kita tidak pernah berdoa, sebenarnya kita ialah hamba ALLAH yang paling sombong. Sedangkan ALLAH berfirman yang bermaksud:

  "Dan berkata Tuhan kamu, Berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan!"

                                                                     (Surah al- Ghafir, ayat :60)

Jelas bahawa berdasarkan ayat tersebut, ALLAH meminta kita supaya berdoa kepadaNya. InsyaAllah apa yang kita minta akan dimakbulkan oleh ALLAH. 

Namun begitu, kadang-kala kita rasa kita dah banyak berdoa tetapi ALLAH masih tidak kabulkan juga doa kita. Hingga kadang-kala kita mula berburuk sangka kepada ALLAH dan tidak yakin dengan firmanNya dalam surah al-Gafir tersebut.  Jom, kita semak atau muhasabah diri mengapa doa kita tidak dimakbulkan oleh ALLAH.

Kisah Ibrahim bin Adham

Ibrahim bin Adham merupakan seorang ahli sufi yang terkenal dengan kewarakannya. Suatu ketika semasa beliau berada di tengah-tengah pasar Basrah, orang ramai datang mengerumuninya. Lantas ada seseorang yang bertanya kepadanya  perihal doa mereka yang tertolak.

     "Mengapa doa kami tidak dimakbulkan oleh ALLAH, sedangkan kami bermohon kepadaNya?"

Lantas Ibrahim menjawab persoalan tersebut, " Kerana hati mereka buta disebabkan oleh sepuluh perkara, iaitu
  •       Kamu mengenal ALLAH, tetapi kamu tidak menunaikan suruhan-Nya
  •       Kamu menyangka kamu cintakan Rasulullah tetapi kamu meninggalkan sunahnya
  •       Kamu membaca al Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya
  •       Kamu makan nikmat ALLAH tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya
  •     Kamu berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya
  •        Kamu berkata  syurga itu itu benar, tetapi kamu beramal untukNya
  •        Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari  daripadaNya
  •        Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya
  •     Kamu bangkit  daripada tidur lalu kamu ceritakan semua keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri
  •       Kamu kebumikan mayat-mayat sahabat-sahabat kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka
Itulah antara punca mengapa doa kita tidak diterima oleh ALLAH. Apatah lagi jika kita memutuskan hubungan persaudaraan dan sering melakukan dosa, maka sudah pasti ALLAH tidak akan pandang kepada kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:   

      "Tiada seorang Muslim yang berdoa dengan sesuatu doa yang tiada dalam dirinya dosa atau memutuskan silaturrahim, melainkan ALLAH memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara iaitu sama ada doa itu dimakbulkan segera ataupun disimpan dan diberikan pada hari akhirat, atau dijauhkan keburukan yang sepadan dengan doa tadi"
  (Diriwayatkan oleh Ahmad, al Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih) 

Semoga Doa Kita Diterima

Menurut Ustaz Makmum bin Sundari, bagi memastikan ALLAH memperkenankan doa kita maka kita perlu mematuhi beberapa syarat. Antara syarat-syaratnya ialah:

1. Mengelakkan sumber yang haram

ALLAH amat murka kepada sesiapa yang makan daripada sumber yang haram sama ada dalam bentuk makanan itu sendiri atau pendapatan yang diperoleh daripada sumber yang haram.

Sesiapa yang berbuat demikian maka jaminannya ialah bakaran api neraka. Nauzubillahi min zalik. Sabda Nabi Muhammad saw kepada Saad yang bermaksud: 
              
 "Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang terkabul doanya. Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggamanNya, sesungguhnya seorang hamba melontarkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak diterima amal kebaikannya selama 40 hari. Siapa juga dagingnya tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih layak membakarnya. "    (Hadis riwayat Thabrani) 

 2. Menjauhi dosa-dosa besar
  
Dosa-dosa besar seperti mensyirikkan ALLAH tidak wajar dilakukan. Bahkan dosa-sosa besar yang sering dilakukan akan menjadi hambatan dalam proses kita memohon kepada ALLAH. Mana mungkin kita doa kita dimakbulkan sedangkan kita dalam keadaan berdosa.
Firman ALLAH dalam surah an-Nisa', ayat 31 yang bermaksud:
    
        " Sekiranya kamu menjauhi dosa-dosa besar antara dosa-dosa yang dilarang mengerjakannya, nescaya kami hapus kesalahan-kesalahanmu dan kami masukkan kamu ke tempat yang mulia(syurga)." 
 
3. Sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada ALLAH

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
         "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah(berisytighfarlah) kepada ALLAH kerana aku selalu bertaubat kepadaNya dalam sehari sebanyak 100 kali."
                                                         (Hadis riwayat Muslim)

Kalau Rasulullah saw yang sudah dijamin syurga oleh ALLAH serta maksum daripada sebarang kesalahan masih lagi beristighfar, maka apatah lagi kita. Sewajarnya bertaubat kepada ALLAH menjadi amalan zikir harian kita yang tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa. 

Taubat yang sebenar-benarnya ialah Taubat Nasuha iaitu berhenti daripada melakukan dosa dan menyesal serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

 4. Bertawasul dengan amalan terbaik sekiranya ada 
  
Tawasul bermaksud mendekatkan diri kepada ALLAH melalui jalan mentaatinya, beribadah kepadanya, mengikuti para nabi dan rasul dengan amalan yang disukai ALLAH.

Mungkin kita pernah mendengar tentang kisah tiga orang pemuda yang berteduh di dalam sebuah gua. Secara tiba-tiba sebiji batu besar bergolek menutupi pintu gua. Mereka hanya dapat keluar daripada gua tersebut setelah berdoa kepada ALLAH dengan menyebut amalan-amalan baik yang dilakukan.

Seandainya, syarat-syarat di atas telah dipenuhi, InsyaAllah ALLAH yang maha Pemberi lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang akan memakbulkan doa kita. Namun seandainya, doa kita masih belum dijawab oleh ALLAH, mungkin ALLAH simpan untuk kita di Akhirat nanti. Teruskan berdoa...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan