Rabu, 28 Januari 2015

JAGALAH LIDAH...

Assalamualaikum wbt...

Semoga semuanya berada dalam rahmat dan perlindungan Allah swt

Hari ni nak berkongsi ilmu yang diperoleh dari bacaan Majalah Solusi edisi 75. Sangat menarik dan banyak ilmu yang diperoleh...Jadi lepas ni, bolehlah beli. Tambah ilmu kita.

Isu tentang padah lidah amat menarik kerana kata orang lidah tak bertulang. Jadi mudah sahaja tergelincir kata-kata yang boleh mendorong kita ke neraka.

Salah satu tulisan menarik ialah "Kata-kata Kita Mencemari Syurga Dunia yang ditulis oleh Ustaz Muhammad Luqman Makhtar...

Antara cerita yang menarik ialah tentang bagaimana kata-kata yang kasar boleh merosakkan minda remaja. Walaupun sudah diasuh bertahun-tahun dengan akhlak yang mulia namun boleh rosak minda anak-anak muda walaupun hanya sekali mendengar kata-kata yang kotor. Begitulah kesan lidah kita kalau tidak dijaga.

Penulis juga menyenaraikan dosa-dosa yang sering mencemari iman  angkara lidah kita. Antaranya:

1. Mengumpat

    Semua orang tahu dosa megumpat umpama memakan daging saudaranya yang telah mati. Namun kita masih juga tidak dapat lari daripadanya.

    Mengumpat ialah mengatakan sesuatu yang tidak disenangi oleh saudara kita tidak kira benar atau tidak. Jangan tidak berpuas hati, eloklah kita berterus-terang...hindarilah mengumpat tapi payah kan!!! Lidah kita ni mudah sangat bercakap tentang keburukan orang.

    Semoga kita berusaha elakkan diri daripada mengumpat dan sentiasa bertaubat. Minta maaf daripada saudara kitayang telah diumpat itu.

2. Mengutuk

    Sabda Rasulullah yang bermaksud" Mencela Muslim suatu kefasiqan. membunuhnya suatu kekufuran." ( Riwayat al-Bukhari)

    Kata penulis semua ucapan yang mendoakan keburukan buat seseorang dikira sebagai mengutuk.  Ia juga termasuk mengutuk objek yang tidak bernyawa pun seperti angin, hujan dan sebagainya.

3. Merendah-rendah orang lain
    
    Kita juga dilarang merendah-rendahkan orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Apabila seseorang berkata 'Manusia sudah rosak. maka dialah yang rosak" (Riwayat Muslim)

4. Menuduh

    Perbuatan melabelkan orang lain dengan suatu label tertentu tanpa bukti yang kukuh merupakan satu tuduhan yang berat. Ini boleh mendatangkan sangkaan buruk kepada orang yang dilabelkan.

    Jadi,  jangan mudah melabelkan dengan pelbagai tuduhan kerana bimbang bagaimana nasib kita di akhirat kelak. Berhati-hatilah sahabat...

5. Bercakap kotor dan kasar

    Sabda Nabi" Bukanlah orang Mukmin orang yang suka mengutuk, melaknat, bercakap kotor dan kasar." (Riwayat al-Tirmidzi)
    Antaranya mencarut, cakap lucah atau lawak berlapik boleh dikira sebagai kotor. Juga kita mengata atau memanggil seseorang dengan gelaran buruk atau menyamakan sifatnya dengan haiwan.

    Oleh itu, sewajarnya kita jaga lidah kita kerana ucapan yang buruk boleh membawa kita ke neraka...nauzubillahi min zhalik. Semoga dijauhkan Allah.

   Saling memberi nasihat dan tegur-menegur ke arah kebaikan amat perlu dalam menjalin hubungan dengan rakan, jiran tetangga atau sesiapa sahaja.

   Ingatlah firman Allah swt dalam surah al-Asr yang bermaksud:

   "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Ayat 1-3)

   Banyak lagi kupasan-kupasan menarik di dalam Majalah Solusi kali ini. Semoga pembaca tidak lepaskan peluang memilikinya.

   Yang baik itu dari Allah, yang lemah itu daripada saya sendiri. Wallahu a'lam.


    

    
   




Tiada ulasan:

Catat Ulasan