Isnin, 10 Ogos 2015

SHISHA PEN : AWASI ANAK-ANAK KITA

 Assalamualaikum wbt...

Semoga kita semua dalam rahmat dan perlindungan ALLAH swt jua terutama daripada fitnah akhir zaman ini serta dakyah-dakyah para pengikut Dajjal laknatullah.

Nampaknya pelbagai cara dilakukan oleh orang-orang kafir untuk merosakkan generasi muda kita. Sebagai ibu bapa, kita perlulah sentiasa prihatin dan mengambil tahu perkembangan semasa.

Kadang-kala dek kerana sibuk dengan kerjaya, kita lupa untuk mendidik serta mengawasi tindak- tanduk anak-anak. Inilah puncanya anak-anak semakin terbiar, rosak akhlaknya serta amat mudah terpengaruh dengan  gejala sosial di luar,

Tugas kita sebagai ibu dan bapa bukan hanya sekadar memberikan makan, minum, pakaian atau kelengkapan harian yang lain. Sebenarnya ada peranan lebih besar dari itu iaitu mencorakkan akhlak dan jiwa anak-anak mengikut acuan Islam bagi melahirkan modal insan yang sempurna dari segi jasmani, rohani, emosi dan inteleknya.

Contoh Shisha Pen
Malangnya, kepesatan teknologi hari ini menyebabkan kita ketinggalan. Banyak yang kita tidak tahu sedangkan anak-anak kita kadang-kala lebih "advance" daripada kita.

Penemuan Shisha Pen atau Rokok Elektronik dalam kalangan murid-murid sekolah amat mengejutkan para guru.  Betapa cantiknya reka bentuknya tetapi hakikatnya di dalamnya tersembunyi sesuatu yang berbahaya buat anak-anak yang masih remaja ini.

Pertama kali, saya melihat Shisha Pen ni, saya terus risau. Takut dan bimbang anak-anak remaja saya terlibat sama. Saya ingatkan ia sejenis pen tetapi rupanya rokok elektronik. Alhamdulillah, rokok elektronik ini telah difatwakan haram. Diharapkan gejala yang tidak sihat ini dapat kita bendung.

Jadi, sebagai ibu bapa tolong cakna anak-anak kita. Periksa beg sekolah mereka agar benda-benda terlarang ini tiada.  Kadang-kala mereka memang tidak membelinya tetapi rakan-rakan mereka pula menjadi pembekal. Jadi awasilah anak-anak kita dan tunjukkan gambar atau contoh Shisha Pen ini agar mereka tahu serta terangkan keburukannya.

Keburukan Shisha Pen 
Shisha itu pada dasarnya merupakan satu cara yang berbeza untuk menikmati tembakau berbanding dengan rokok biasa. 

Ada yang mengatakan Shisha Pen merupakan cara yang lebih baik sedangkan hakikatnya ia tetap mengandungi tembakau yang pastinya mempunyai parasa nikotin yang mungkin pada paras yang lebih rendah daripada rokok biasa  kerana ia lebih ringan dan telah dicampur dengan air sebagai filter bahkan mungkin  dicampur dengan wine(arak) atau ganja.


Tapi perlu diketahui tar dalam Shisha jauh lebih tinggi daripada rokok! Rasa shisha yang pelbagai iaitu rasa buah-buahan amat digemari terutamanya rasa epal.

Contoh Shisha Pen
Walaupun dari segi perubatan, bahaya Shisha masih belum dibuat kajian mendalam tetapi kita semua maklum tembakau yang terdapat didalamnya boleh menyebabkan kanser esophagus dan kanser mulut jika dihisap secara berterusan.

Harga sebatang Shisha Pen ini dikatakan dijual RM17 sebatang dan boleh diperoleh secara mudah. Malah ada murid-murid yang mengajak rakan-rakan mereka menggunakannya secara bergilir-gilir.

Jadi, Kak Wan harap kita sebagai ibu bapa ni prihatinlah dengan perubahan semasa yang berlaku. Dekati dan tanya anak-anak selalu. Jangan terlalu percaya kepada anak-anak.

Semoga info yang sedikit ini dapat membantu kita.


Contoh Shisha Pen



Tiada ulasan:

Catat Ulasan