Jumaat, 4 Julai 2014

SUBURKAN RAMADAN DENGAN AMALAN SEDEKAH

Assalamualaikum para pembaca budiman....

Alhamdulillah dengan izinNya, kita masih lagi hidup untuk terus mengutip pahala ibadah dalam bulan yang penuh keberkatan. Jangan berhenti untuk terus beramal kerana pahala setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas akan terus mengalir sehingga kita meninggalkan dunia yang fana ini.

Salah satu amalan  yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sepanjang bulan Ramadan ialah memperbanyak sedekah. Rasulullah banyak bersedekah pada bulan ini walaupun hanya dengan sebiji buah tamar. Jadi, ambillah peluang dalam bulan yang mulia ini untuk bersedekah. Kalau boleh setiap hari dalam bulan Ramadan kita lakukan amalan ini. Tak perlu banyak. Sedikit sudah memadai.

Gambar hiasan

Allah s.w.t berfirman, yang bermaksud:

"Bandingan(derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti  sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ( ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya."
                                                                              (Al Baqarah:261)

Bayangkan betapa besar pahala yang Allah beri. Itu kalau hari-hari biasa. Kalau bulan Ramadan bertambah lagi 70 kali ganda. Allahuakbar...sayangnya Allah dekat hamba-hambaNya. Hanya kita je yang masih bertangguh untuk membuat kebajikan dengan pelbagai alasan diberi. Duit cukup-cukup makan je. Banyak lagi barang nak beli dan macam-macam alasan lain. Namun jika kita sudah biasa bersedekah, kita tak akan rasa rugi. Malah kita akan rasa rugi pula apabila tak bersedekah.

Sebenarnya harta yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah ujianNya untuk menguji keimanan kita. Siapakah antara kaum mulimin yang benar-benar yakin akan ayat-ayat Allah. Maka beruntunglah orang kaya yang pemurah dan orang-orang yang suka bersedekah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: 
 " Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan"

Daripada hadis tersebut, beberapa mutiara yang dapat diperoleh iaitu:

i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan pada bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan amalan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak golongan fakir miskin berbuka puasa atau memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa. Contohnya, menyumbang wang bagi majlis berbuka puasa di masjid-masjid.

Gambar hiasan
iii) Konsep 'memberi' (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana jika kita selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya yang membantu seseorang itu  menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempererat lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Jelasnya, kita bersedekah tanpa pengetahuan orang lain dan bukan untuk disebarkan di dada-dada akhbar. Teringat bait lagu Herman Tino,
              Tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri
              Derma bukan tontonan, lakukan dalam sepi

Apa kelebihan amalan sedekah ini?
InsyaAllah, orang yang banyak bersedekah akan lebih murah rezekinya. Sedekah juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita. Sedekah juga dapat meningkatkan darjat kita di sisi Allah. Pahala amalan sedekah akan mengalir kepada kita berterusan walaupun kita sudah tiada.

Rasulullah s.a.w bersabda:

" Apabila mati anak adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya."
                                                             (Hadis Riwayat Muslim)

Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat 60 yang bermaksud:

 " Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai."

Jadi, sahabat-sahabat sekalian yang ragu-ragu untuk bersedekah, bolehlah mula mempraktikkan amalan ini. Apabila kita lakukan dengan ikhlas, kita akan rasa nikmatnya bersedekah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan