Bismillahi Rahmanir Rahim....
Musim Haji kembali lagi!!! Para jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun ini tentu sedang sibuk membuat persiapan dan persediaan untuk memastikan semua kelengkapan haji telah sempurna. Bagi yang pertama kali menunaikan fardhu haji sudah tentu merasa seronok, teruja, rasa berdebar-debar dan tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah al-Mukarramah. Pelbagai gambaran mungkin terlintas dalam fikiran kita.. yang paling utama tentulah rumah Allah iaitu Kaabah yang selama ni hanya dilihat di dada-dada akhbar atau di kaca televisyen. Kali ini, Allah bagi peluang untuk kita menatapnya dengan mata hati kita sendiri. Subhanallah begitu besar pahalanya, walaupun hanya sekadar melihat kaabah. Allah beri 20 rahmat untuk sesiapa yang menatapnya. Bersyukurlah kerana kita terpilih antara jutaan manusia. Laksanakan amalan haji kita dengan mempersembahkan yang terbaik untuk Allah.
Bagi yang pernah menunaikan umrah, mungkin lain sedikit perasaannya. Pengalaman mengerjakan umrah dapat menjadi panduan serba sedikit untuk membantu kita mengerjakan ibadah haji dengan sempurna. Namun sebenarnya ibadah umrah dengan haji ada perbezaannya. Alhamdulillah, saya sendiri telah diberi peluang oleh Allah untuk mengerjakan umrah pada tahun 2012 dan kemudiannya mengerjakan haji pula pada musim haji tahun 2013. Walaupun baru sahaja selesai mengerjakan haji tetapi apabila mendengar sahabat-sahabat nak pergi ke Makkah, rasa rindu untuk ke sana masih lagi menebal. Mata ingin menatap Kaabah, mengerjakan saei,solat di Masjidil Haram, tawaf, wukuf di Arafah, bermalam di Mina dan Mudzalifah serta melontar di Jamrah. Pengalaman yang sungguh berharga yang tidak akan luput sampai bila-bila.