Sabtu, 30 Ogos 2014

LAMBAIAN KAABAH

Bismillahi Rahmanir Rahim....

Musim Haji kembali lagi!!! Para jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun ini tentu sedang sibuk membuat persiapan dan persediaan untuk memastikan semua kelengkapan haji telah sempurna. Bagi yang pertama kali menunaikan fardhu haji sudah tentu merasa seronok, teruja, rasa berdebar-debar dan tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah al-Mukarramah.  Pelbagai gambaran mungkin terlintas dalam fikiran kita.. yang paling utama tentulah rumah Allah iaitu Kaabah yang selama  ni hanya dilihat di dada-dada akhbar atau di kaca televisyen. Kali ini, Allah bagi peluang untuk kita menatapnya dengan mata hati kita sendiri. Subhanallah begitu besar pahalanya, walaupun hanya sekadar melihat kaabah. Allah beri 20 rahmat untuk sesiapa yang menatapnya. Bersyukurlah kerana kita terpilih antara jutaan manusia. Laksanakan amalan haji kita dengan mempersembahkan yang terbaik untuk Allah.

Bagi yang pernah menunaikan umrah, mungkin lain sedikit perasaannya. Pengalaman mengerjakan umrah dapat menjadi panduan serba sedikit untuk membantu kita mengerjakan  ibadah haji dengan sempurna. Namun sebenarnya ibadah umrah dengan haji  ada  perbezaannya. Alhamdulillah, saya sendiri telah diberi peluang oleh Allah untuk mengerjakan umrah pada tahun 2012 dan kemudiannya mengerjakan haji pula pada musim haji tahun 2013. Walaupun baru  sahaja selesai mengerjakan haji tetapi apabila mendengar sahabat-sahabat nak pergi ke Makkah, rasa rindu untuk ke sana  masih lagi menebal. Mata ingin menatap Kaabah,  mengerjakan saei,solat di Masjidil Haram, tawaf, wukuf di Arafah, bermalam di Mina dan Mudzalifah serta melontar di Jamrah. Pengalaman yang sungguh berharga yang tidak akan luput sampai bila-bila.

Masih lagi teringat sahabat-sahabat sebilik di Hotel al Olayan di Makkah. Wati, Kak Arney, Kak Ani, Kak Zah serta Kak Ta. Semoga semuanya sihat dan dalam lindungan Allah jua. Alhamdulillah walaupun pergi melalui Muassasah Tabung Haji tetapi Allah izin dapat hotel yang hanya 250meter dari Baitullah. Hotel kami, merupakan hotel Tabung Haji yang terdekat dengan Masjidil Haram. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk beribadah dan solat lima waktu di Masjidil Haram.

Sebenarnya, ibadat Haji merupakan ibadah yang amat-amat  menguji kesabaran dan keimanan kita kepada Allah. Di sana, banyak ujian yang akan kita hadapi sama ada dengan suami sendiri,sahabat-sahabat sebilik malah jemaah haji yang lain. Oleh itu, persiapkan diri dengan banyak bersabar dan sentiasa beristighfar kepada Allah dan berdoalah selalu agar Allah permudahkan segala urusan kita dengan membaca doa ini:




InsyaAllah, dengan mengamalkan doa ini, segala urusan kita di sana Allah permudahkan. Masih teringat lagi saat ingin 'check in' di Kelana Jaya. Tiba-tiba terdengar pengumuman yang meminta semua jemaah haji tidak membawa sebarang bekalan makanan seperti serunding atau sambal bilis dll lagi. Ia merupakan peratutan baru yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kelam kabut dibuatnya. Bakal jemaah Haji terpaksa membuka bagasi masing-masing dan menyerahkan bekalan yang dibawa kepada sanak saudara yang masih ada. Sedangkan saya tak tahu nak beri kepada siapa serunding yang dibawa. Nak buang terasa sayang. Suami suruh bawa sahaja tapi saya risau sebab serunding tu dalam bagasi saya. Tak pasal-pasal bagasi kena rampas nanti. Ya Allah, apa nak buat ni. Dalam keadaan yang terpinga-pinga, datang petugas Tabung Haji. Saya maklumkan masalah tersebut. Petugas tersebut minta saya bawa sahaja. Tak perlu risau katanya. InsyaAllah tak ada apa-apa. Walaupun masih takut-takut, saya tawakkal sahaja kepada Allah. Doa tersebut tak lepas-lepas saya baca. Alhamdulillah 'check in' di Kelana Jaya berjalan baik. Namun, hati masih tidak tenang.



Setibanya di Jeddah, makin risau dibuatnya. Setelah selesai mengambil bagasi, kami beratur untuk pemeriksaan bagasi. Ya Allah, rasa berdebar-debar datang kembali apabila melihat pegawai kastam Arab Saudi yang sibuk menggeledah bagasi Jemaah Haji yang lain. Hanya doa itu yang tak putus-putus saya baca, mengharapkan Allah permudahkan urusan saya. Alhamdulillah, bagasi saya melepasi pemeriksaan kastam. Lega rasa hati. Dapatlah rasa makan serunding. Saya yakin dengan doa tersebut kerana pada masa itu kita hanya bergantung kepada Allah sahaja dan Allah menolong kita dengan mempermudahkan urusan kita. Hingga kini, saya masih mengamalkannya. 

Itulah salah satu tajribah yang tak dapat dilupakan...Sebenarnya, banyak lagi peristiwa yang saya takkan lupa sepanjang 42 hari berada di Tanah Suci Makkah. Namun saya pasti setiap Jemaah yang telah berkunjung ke sana, mempunyai pengalaman tersendiri. Sukar diucapkan dengan kata-kata. Rasa tak nak balik ke Tanah Air... Jadi, kepada semua bakal Jemaah Haji tahun ini, rebutlah peluang yang diberi oleh Allah sebaik mungkin. Semoga anda semua mendapat Haji Mabrur.

Mungkin, di kesempatan yang lain, saya akan cuba kongsikan tips-tips berguna kepada semua bakal Jemaah.

Selamat Menuju Ke Baitullahil Haram...Labbaikallahuma Labbaik!!!








Tiada ulasan:

Catat Ulasan