Sabtu, 1 November 2014

KELEBIHAN PUASA SUNAT AS-SYURA(10 MUHARRAM)


Bismillahi Rahmanir Rahim.
 
Assalamualaikum w.b.t…

Awal Muharram 1436H bersamaan dengan 25 Oktober 2014 Masihi baru sahaja kita sambut pada hari Sabtu yang lalu. Hari ini sudah masuk 9 Muharram. Kita disunatkan berpuasa pada hari ini dan esok iaitu 10 Muharram(hari As-syura). Jadi , kepada yang berpuasa pada hari ini diucapkan “Selamat Berpuasa”. Semoga Allah ampunkan segala dosa yang kita lakukan sepanjang tahun lepas.



Biasanya, apabila masuk sahaja bulan ni, saya teringat zaman kecil-kecil dulu, sibuklah orang kampung membuat bubur assyura. Beberapa kawah akan dimasak untuk santapan seluruh warga kampung. Saya masih ingat, kami tak sabar-sabar untuk menikmatinya terutama dalam keadaan bubur yang masih panas. Dahulu makan pun dalam tempurung kelapa. Sedap rasanya. Itulah pengalaman yang tak dapat dilupakan.
Sebenarnya, bukan bubur sahaja yang perlu menjadi tumpuan kita dalam bulan ini tetapi juga kelebihan berpuasa pada 10 Muharram itu yang patut dikejar.  Menurut Hadis yang diriwayatkan  daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram) maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka boleh dia tinggalkan". Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi berpuasa pada 10 Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada lemas dan juga daripada buruan Firaun.



 إِنِّى أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّيِّئَةَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهَا

 Sesungguhnya aku mengharap ganjaran daripada Allah supaya menghapuskan kesalahan (orang yang berpuasa Asyura) setahun sebelumnya. ( HR Muslim - Kitab Puasa )







SEJARAH 10 MUHARRAM

Terdapat beberapa peristiwa bersejarah yang penting dalam sirah yang terjadi pada 10 Muharram ini. Menurut Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya “Mukha syafatul Qulub” beberapa peristiwa penting yang berlaku  pada tarikh tersebut ialah:

1.  Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
2.  Taubat Nabi Adam a.s. diterima oleh Allah.
3.  Penciptaan Adam a.s.
4.  Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.

5.  Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6.  Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan.

7.  Nabi Ibrahim a.s diselamatkan daripada api Raja Namrud.
8.  Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun.
9.  Firaun dan pengikutnya lemas di laut Merah.
10. Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11. Diangkat Nabi Isa ke langit.
12. Diangkat Nabi Idris ke langit.
13. Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14. Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15. Nabi Yunus dikeluarkan daripada perut ikan Nun.
16. Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas  buta.
17. Nabi Yusuf dikeluarkan daripada telaga buta.
18. Nabi Ayyub disembuhkan daripada penyakitnya.
19. Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.

20. Terjadinya kiamat


APAKAH KELEBIHAN PUASA AS-SYURA'?


Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya". Hadis Riwayat Muslim.

Manakala dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Assyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Assyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Assyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."

Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Assyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Assyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Assyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Assyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Assyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Assyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Assyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Assyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Assyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Assyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Assyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Assyura !".

Jadi, buat sahabat-sahabat yang berpeluang untuk berpuasa, marilah kita sama-sama berpuasa dan mengharapkan dosa kita setahun yang lalu diampunkan oleh Allah.


SALAM MAAL HIJRAH 1436H....





Tiada ulasan:

Catat Ulasan